Wabak koronavirus di Malaysia belum serius: Tun M
KLANG - Kerajaan belum ada perancangan untuk mengenakan larangan terhadap pelancong China terutama dari Wuhan memasuki Malaysia meskipun terdapat beberapa negara mengambil langah tertentu kerana koronavirus merebak terlalu cepat.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa wabak itu di negara ini yang masih belum berada di tahap serius.
"Bagaimanapun Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah yang sepatutnya dengan melakukan saringan terhadap pelancong dari China dan membolehkan tiga pelancong di Johor dikesan dan dikuarantinkan.
"Kerajaan China juga sudah mengambil tindakan drastik dengan mengenakan kuarantin ke atas 11 juta rakyatnya dalam usaha mereka menyekat wabak ini daripada terus merebak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 anjuran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Persatuan-persatuan Cina Klang di Bangunan Persatuan Hokkien Klang di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menyaring rakyat Malaysia yang berada di China sejak beberapa hari lalu sebelum memasuki semula negara ini untuk memastikan mereka tidak menyebarkan penyakit itu.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang berusaha untuk menambah alat pengesan suhu di kesemua pintu masuk utama negara bagi mengesan virus tersebut lebih awal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!