'Keputusan Speaker berdasarkan Perlembagaan' - Ahmad Zahid
KUALA NERUS - Pengumuman oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari terhadap keenam ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal sebagai wakil rakyat merupakan suatu keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi yang berlaku terhadap Bersatu itu berbeza dengan Perlembagaan UMNO yang menghalang ahli Parlimen parti itu berubah sokongan.
"Kita tahu bahawa situasi itu berbeza dengan kedudukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana kesemua mereka menandatangani tiga dokumen sebelum menerima surat watikah untuk menjadi calon.
"Ketika mereka (ahli Parlimen BN) keluar dari parti, mereka perlu membayar bon berjumlah RM100 juta. Ini dilakukan sebelum mereka mengemukakan kertas pencalonan.
"Berbeza dengan situasi Bersatu di mana pindaan perlembagaan parti dibuat setelah mereka (enam ahli Parlimen) ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyatakan mungkin ada di kalangan ahli Parlimen berkenaan akan dicabar untuk mengemukakan bukti apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah nanti.
"Itu kita serahkan pada mana-mana pihak untuk membawa isu ini ke mahkamah tapi kuasa Speaker Dewan Rakyat adalah jelas di mana itu termaktub dalam (Perlembagaan) disebut oleh beliau," ulasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan tidak timbul istilah takut kepada kekalahan sekiranya Pilihan Raya Kecil diadakan di enam kerusi berkenaan.
"Bukan kerana itu (takut pada kekalahan jika kerusi dikosongkan). Keenam kerusi tersebut adalah kerusi UMNO.
"Walau kosong pun UMNO akan bertanding. Dalam politik mana boleh takut nak bertanding," ujarnya.
Sebelum ini, Johari mendapati arahan-arahan di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Johari berkata, Perlembagaan Bersatu menafikan hak lima Ahli Parlimen bekas ahli parti itu sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang menjamin hak keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada lima ahli Parlimen berkenaan.
Perkara itu terkandung dalam surat Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee pada 9 Julai lepas, bagi memberitahu mengenai keputusan terhadap notis pemakluman kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berikutan keahlian mereka dalam parti itu telah terhenti.
Salinan surat itu juga ditujukan kepada lima Ahli Parlimen berkaitan iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Thalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama ahli Parlimen pembangkang mengadakan sidang akhbar tergempar pada Rabu dan mengesahkan Johari menolak permohonan parti itu.
Beliau menyifatkan Johari mengemukakan alasan dangkal dan tafsiran songsang sedangkan ia jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pihaknya akan menggunakan saluran mahkamah bagi mencabar keputusan Johari.
Bersatu pada 12 Jun menghantar notis keahlian terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.
Ia susulan mereka gagal menjawab surat arahan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.
April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Pindaan membabitkan Perkara 10 perlembagaan parti tersebut dibuat selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang sebelum itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!