[VIDEO] UMNO sokong kaji Akta Anti Lompat Parti, syor pilihan raya semula - Tok Mat

A
A
A

KOTA TINGGI - UMNO menyokong langkah kerajaan mengkaji semula Akta Lompat Parti dan mencadangkan agar pilihan raya semula atau 'recall election' sebagai pilihan yang boleh dipertimbangkan ketika ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi pilihan raya semula, kuasa pemilihan diberikan semula kepada rakyat bagi mengekang tindakan lompat parti wakil rakyat.

"Pada saya elok dikaji bahkan jika dikaji atau diperbetulkan, kita boleh buat satu rang undang-undang seperti di England yang mempunyai 'recall election'.

"Yang mana jika ada ahli Parlimen yang jelas tidak sehaluan dengan parti atau tidak bersama dengan parti, maka pengundi- pengundi di kawasan mereka itu boleh membuat referendum atau petisyen.

Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah tokoh UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong pada Sabtu.
Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah tokoh UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong pada Sabtu.

"Mereka mesti kumpulkan tandatangan untuk petisyen itu. Tandatangan yang lebih 50 peratus, ahli Parlimen berkenaan perlu kosongkan kerusi dan pilihan raya kena diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong, Tenggara pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia berbincang bagi meminda Akta Anti Lompat Parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri memaklumkan, Akta Anti Lompat Parti itu dikemukakan UMNO selepas parti itu 'tercedera' kerana ramai ahli Parlimennya melompat keluar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2018.

Beliau berkata, ia dikemukakan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Di bawah kluster perundangan dan reform bawah Datuk Seri Azalina Othman Said, kita telah mengemukakan supaya Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti mesti ada. Kalau tidak negara kita sentiasa saja kucar- kacir diugut oleh mereka yang kadang-kadang lebih kepada kepentingan peribadi.

Mohamad Hasan menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara 2024 di Dewan Sri Sayong pada Sabtu. Foto Bernama
Mohamad Hasan menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara 2024 di Dewan Sri Sayong pada Sabtu. Foto Bernama

"UMNO dulu buat pindaan itu satu undang-undang padat dan ketat tapi banyak pula pihak yang tidak setuju, termasuk tidak perlu keluar parti, tidak perlu kosongkan kerusi jika ahli Parlimen sokong parti sebelah (parti lain). Boleh dilihat dalam rakaman di Parlimen.

"Pada ketika itu pihak sebelah, mereka menolak cadangan diadakan rang undang-undang yang amat ketat supaya isu lompat parti tidak lagi boleh dilakukan oleh ahli Parlimen," katanya.

Dalam pada itu Mohamad berkata, tindakan tidak mengosongkan enam kerusi diwakili ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat Speaker Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kerana ia merupakan kuasa Parlimen sebagai institusi yang bebas dan legislatif.

"Itu kuasa Speaker kerana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) ada pengasingan kuasa. Di dalam legislatif Parlimen, Yang Dipertua Dewan yang punya kuasa begitu juga di DUN, Speaker yang ada kuasa.

"Disebabkan itu, apabila kes DUN Nenggiri di Kelantan dibawa ke mahkamah oleh wakil rakyat yang sudah terlucut daripada partinya, mahkamah tidak masuk campur. Ini kerana, ia merupakan urusan legislatif dan bukannya kuasa mahkamah," ujarnya.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!