Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Felda ke-25 lakar sejarah tersendiri

Ahmad Shabery menyampaikan sijil Anugerah Khas kepada Ahmad Syamil.
Ahmad Shabery menyampaikan sijil Anugerah Khas kepada Ahmad Syamil.
A
A
A

SERDANG - Seramai 555 graduan Kolej Yayasan Felda menamatkan pengajian tahun 2023-2024 diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-25 Kolej Yayasan Felda yang berlangsung di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Akademik Yayasan Felda, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata, majlis konvokesyen kali ini melakar sejarah tersendiri kerana ia diadakan dalam kemeriahan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang sedang berlangsung sehingga esok.

"Selain diraikan dalam majlis konvokesyen, graduan turut terlibat dalam pelbagai aktiviti yang disediakan sempena hari meraikan warga peneroka ini.

"Kolej Yayasan Felda telah melaksanakan pelbagai program latihan yang berkualiti melalui pendedahan industri agar dapat melahirkan graduan yang berdaya saing untuk menghadapi cabaran dalam industri kemahiran negara," katanya ketika majlis perasmian majlis berkenaan.

Turut hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Felda, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut Khairuddin, Yayasan Felda berharap graduan sentiasa merebut peluang dalam industri bagi mendapat kerjaya dalam bidang keusahawanan.

Ujarnya, kerajaan juga telah memberi tumpuan untuk memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) dengan memfokuskan usaha membangunkan bakat dan kemahiran selaras dengan keperluan negara.

Ahmad Shabery (tengah) dan Khairuddin (kiri) ketika Majlis Konvokesyen ke-25 Kolej Yayasan Felda di Maeps pada Sabtu.
Ahmad Shabery (tengah) dan Khairuddin (kiri) ketika Majlis Konvokesyen ke-25 Kolej Yayasan Felda di Maeps pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Yayasan Felda, program TVET berperanan sebagai pemangkin perubahan melahirkan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang dan seterusnya akan memberi manfaat jangka masa panjang khususnya dalam meletakkan Felda pada aras yang lebih tinggi.

"Kami akan terus memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan dalam memartabatkan Program TVET dengan pelaksanaan program secara sepenuh masa di semua Kolej Yayasan Felda termasuk Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan kerjasama rakan-rakan kolaborasi, Program persijilan secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dan Program Modular," kata beliau.

Jelasnya, pelaksanaan program-program tersebut bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar lepasan sekolah mengikuti bidang TVET, malah ia juga dapat disertai oleh golongan dari pelbagai peringkat usia.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi yang berkolaborasi bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan melalui pelbagai inisiatif seperti Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Projek Belia Mahir), Malaysian Associate Hospitality (MAH), MARDI Corporation, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Ahmad Shabery hadir menyempurnakan majlis.
Ahmad Shabery hadir menyempurnakan majlis.

Sementara itu, Kolej Yayasan Felda menyenaraikan lima pelajar menerima Anugerah Graduan Cemerlang iaitu Amir Iskandar Azrin (Diploma Kemahiran Malaysia Perkhidmatan Penyediaan dan Pembuatan Makanan); Nurul Afifah Mat Kilau (Diploma Kemahiran Malaysia, Pengurusan Bahagian Makanan dan Minuman) serta Intan Nursyazwani Yusri (Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Pentadbiran).

Selain itu, turut tersenarai, Nur Faezah Abu Hasan Ashari (Diploma Kemahiran Malaysia Pentadbiran Fesyen dan Pakaian) dan Mohd Idham Mohd Kamal (Sijil Kemahiran Malaysia Penyelia Pembantu Dialisis) serta Ahmad Syamil Ahmad Nor sebagai penerima Anugerah Khas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!