UMNO tidak takut PRK jika enam kerusi dikosongkan - Ahmad Zahid
KUALA NERUS - UMNO tidak pernah takut untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya berlaku kekosongan di enam kerusi Parlimen yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pihaknya bersedia bertanding jika berlaku PRK di enam Parlimen berkenaan.
"Bukan kerana itu (takut pada kekalahan jika kerusi dikosongkan). Keenam kerusi tersebut dahulu adalah kerusi UMNO.
"Walau kosong pun UMNO akan bertanding. Dalam politik mana boleh takut nak bertanding," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Bersatu mendakwa Kerajaan Perpaduan takut mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang berhadapan kekalahan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh kerana itu kerajaan sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan meskipun bertentangan asas perjuangan pihak tersebut selama ini.
Mengulas lanjut, Ahmad ZahId ketika berucap menyatakan beliau berazam untuk memastikan kemenangan besar terhadap UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
"Insya-ALLAH kita ada kawasan fokus dan kawasan berpotensi untuk menentukan kita dominan semula dalam PRU - 16.
"Namun hakikatnya kita ada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH). Saya sebut kita wajib bekerjasama dengan mereka (PH) sebagaimana mereka juga wajib bersama dengan kita.
"Sebab kita tidak mahu kerusi UMNO yang kita akan ditandingi bertindih dengan kerusi mereka.
"Apabila rundingan ini dibuat dan pertindihan tidak berlaku maka kita akan tolong mereka (PH) memenangkan kerusi mereka dan Insya-ALLAH mereka juga akan menolong kita memenangi kerusi yang kita tandingi," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!