Doakan musibah ke atas PM, Jakim buat laporan kepada SKMM

Jakim akan membuat laporan kepada SKMM berhubung hantaran sebuah akaun TikTok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.
Jakim akan membuat laporan kepada SKMM berhubung hantaran sebuah akaun TikTok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung hantaran sebuah akaun TikTok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jakim menyerahkan kepada SKMM untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu.

"Kita akan minta SKMM menilai kandungan berkenaan dan terpulang kepada pihak berkuasa itu mengambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, tindakan dibuat pengguna media sosial itu tidak sepatutnya berlaku, malah bertentangan dengan ajaran Islam, dan jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, ia boleh dizahirkan dengan cara yang beradab melalui cara yang betul.

"Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita, Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) beza pandangan apatah lagi dengan pemimpin yang seagama dengan kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada satu hantaran di TikTok oleh seorang pengguna yang memperdengarkan Qunut Nazilah, berserta teks yang antara lain memohon ditimpakan bala laknat kepada Perdana Menteri, para menteri, dan penyokongnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!