Isu Myanmar, Laut China Selatan tumpuan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Laos
KOTA TINGGI - Isu Myanmar dan Laut China Selatan dijangka menjadi tumpuan pada sidang mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Laos, minggu depan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persidangan yang akan dihadiri beliau itu berlangsung selama lima hari.
Menurut beliau, sidang mesyuarat berkenaan turut melibatkan rakan dialog ASEAN termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun, Australia, New Zealand, India dan United Kingdom.
"Terdapat 19 mesyuarat dalam tempoh lima hari tersebut. Ia tidak termasuk mesyuarat dua hala, antara Malaysia dengan Korea Selatan dan negara ASEAN yang lain.
"Pelbagai perkara akan dibincangkan antaranya mengenai Myanmar dan Laut China Selatan. Loas memberi fokus kepada Perhubungan.
"Pada Oktober nanti, mesyuarat ketua negara ASEAN atau sidang kemuncak ASEAN, Malaysia akan terima watikah atau obor untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Tenggara di Dewan Seri Sayong di Felda Sungai Sayong di sini pada Sabtu.
Menurut Mohamad, setakat Jun sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi telah disusun atur melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun hadapan.
"Tahun depan, akan tamat konsep 10 tahun Komuniti ASEAN. Kita akan buat konsep Komuniti ASEAN 20 Tahun bermula 2025-2045.
"Konsep ini akan membawa ASEAN menjadi komuniti besar, baik dari segi ekonomi, pembahagian tenaga, infrastruktur jalan dan sebagainya.
"Seterusnya menjadikan ASEAN sebagai blok yang punya 600 juta penduduk, GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) kelima terbesar dunia dan akan jadi keempat terbesar dalam masa dua atau tiga tahun lagi," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!