Lebih 900 pempamer, penjual menanti pengunjung di HPF 2024

Beberapa pengunjung melihat durian yang dipasarkan ketika berkunjung ke Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang diadakan di MAEPS Serdang pada Sabtu. Foto Bernama
Beberapa pengunjung melihat durian yang dipasarkan ketika berkunjung ke Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang diadakan di MAEPS Serdang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Lebih 900 pempamer dan penjual menanti pengunjung di Hari Peneroka Felda 2024 (HPF 2024) yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, ia terdiri daripada 12 kluster antaranya keusahawanan, hospitaliti, pendidikan dan kerjaya, perladangan serta pesta makanan.

“Hari pertama (semalam) kita terima lebih 152,000 pengunjung yang hadir termasuk peserta bagi Program Felda Berselawat.

“Untuk makluman semua, peniaga di sini bukan biasa-biasa kerana mereka datang daripada peneroka sendiri iaitu seramai 317 orang datang bersama pamerkan produk masing-masing,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan sempena HPF 2024 di Dewan A MAEPS, Serdang pada Sabtu.

Pengusaha Anna Nursery Siti Rubidah Mukiba, 55 mengusaha pelbagai jenis pokok untuk dijual kepada pelanggan ketika Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang diadakan di MAEPS Serdang pada Sabtu. Foto Bernama

Hadir sama Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad.

Majlis berkenaan berlangsung bagi menyampaikan Geran dan Pembiayaan Koperasi KUSKOP iaitu Geran Bantuan Pembangunan Koperasi dan Tabung Modal Pusingan serta penyampaian Anugerah Usahawan Felda (AUF) dan Koperasi Terbaik Rancangan Felda (AKTRF).

Tambah Mohd Banuri, acara berkenaan merupakan pengiktirafan daripada kerajaan kepada pengusaha usahawan terdiri daripada warga peneroka.

Artikel Berkaitan:

“Ia merupakan suntikan baharu yang akan memberikan satu pergerakan oleh usahawan yang lahir di tanah peneroka.

“Mereka yang dinobatkan sebagai pemenang akan mendapat ‘suntikan’ geran daripada pihak kerajaan lebih daripada RM800,000 manakala sebahagian koperasi diberikan kemudahan pinjaman berbentuk asas modal atau membesarkan perniagaan masing-masing,” jelasnya.

Mengulas lanjut Mohd Banuri berkata, orang ramai dijemput hadir ke HPF 2024 bagi menikmati pelbagai juadah daripada rancangan dan negeri berbeza dengan hasil jualan disasarkan sebanyak RM2.5 juta.

Gelagat kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Foto Bernama
Gelagat kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Foto Bernama

Menurut beliau, antara tarikan lain yang diadakan adalah kempen derma darah, e-sport dan cabutan bertuah.

“Malam ini dan esok ada banyak lagi aktiviti menanti pengunjung. Kita ada cabutan bertuah dan antara hadiah disediakan adalah lebih 30 unit motosikal elektrik.

"Penonton turut disajikan dengan persembahan nyanyian oleh artis anak kelahiran Felda pada malam terakhir (esok) yang menampilkan Mawi, Siti Nordiana, Exists dan band terkenal dari Indonesia iaitu Ungu.

“Saya mengalu-alu orang ramai untuk hadir ke hari terakhir bagi merasai sendiri suasana dan kemeriahan sambutan HPF 2024 pada kali ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!