Kejohanan ala ‘superbowl’ cungkil bakat baharu futsal

Lapan pasukan terbaik berentap pada peringkat ‘grand final’ yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM5,000.
Lapan pasukan terbaik berentap pada peringkat ‘grand final’ yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM5,000.
A
A
A

BUAT julung kalinya penganjuran futsal Grand Final ‘Ultraz League’ 1.0 yang berinspirasikan konsep ala 'SuperBowl American Football' di Amerika Syarikat telah dibawakan untuk peminat sukan itu di Kedah.

Pengurus Ultraz Brand, Muhammad Addin Naza Ramli berkata, kejohanan tersebut menampilkan pasukan-pasukan terbaik yabg muncul juara dan naib juara di beberapa pusat futsal sejak 14 Jun lalu untuk berentap di pusingan ‘grand final’.

Menurutnya, sebanyak lapan pasukan terbaik berentap pada peringkat ‘grand final’ yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM5,000.

“Kejohanan ini adalah suasana ala-ala penganjuran SuperBowl di Amerika Syarikat yang mana kejohanan itu hanya mengumpulkan pasukan-pasukan terbaik dari setiap pelusuk negara itu.

“Kami juga membawakan secara eksklusif pasukan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma yang pernah menyertai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa untuk menghiburkan penonton,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat futsal, di sini pada Sabtu.

Jelas Muhammad Addin, kejohanan itu diharapkan mampu menjadi medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan futsal di negeri ini.

“Kami bercadang untuk meluaskan lagi kejohanan ini supaya lebih banyak pasukan dapat sertai dan banyak pusat futsal dapat terlibat.

"Buat masa ini kami fokus di Kedah dahulu dan kami memang ada niat untuk buat di seluruh negara.

“Jurulatih pasukan futsal profesional turut diundang ke setiap perlawanan yang diharap dapat mengenal pasti pemain-pemain berbakat untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kejohanan itu juga menjadi platform untuk mereka bermain futsal secara serius dalam bentuk pertandingan berbanding bermain semata-mata mengisi masa lapang.

Pada perlawanan akhir pusingan 'grand final' edisi pertama pada malam Jumaat, pasukan AA Apparel berjaya muncul juara selepas menang tipis ke atas Tandop FC 4-3 menerusi sepakan penalti setelah terikat 0-0 pada masa sebenar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!