UMNO tempelak Adam Adli kritik ahli politik tidak sependapat
SHAH ALAM - UMNO menempelak tindakan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abd Halim mengkritik ahli politik lain yang tidak sealiran dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, beliau tergamam dengan sikap Adam Adli yang seolah-olah terlupa punca kerajaan runtuh sebanyak tiga kali sebelum Akta Anti Lompat Parti digubal.
“Ketika pasca PRU14, adakah saudara Adam Adli sudah lupa bagaimana runtuhnya kerajaan yang tertubuh hasil daripada peti undi disebabkan migrasi berjemaah ahli Parlimen dan sebahagiannya daripada parti Keadilan juga.
"Kesan daripada kes tersebut, tiga perdana menteri bersilih ganti. Dasar-dasar awam banyak tergendala, pelabur asing beralih arah, negara kita dalam tidak stabil dan terumbang-ambing.
"Akhirnya, yang menjadi mangsa tidak bersalah dalam keadaan ini tidak lain adalah rakyat. Justeru, jangan sekali lagi kita mangsakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan, Adam Adli bertindak menegur Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa hampir senada dengan pembangkang dalam mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat.
Menurut Adam, setiap pandangan, maklumat, fakta dan pendirian bersama Kerajaan Perpaduan perlu dirujuk terlebih dahulu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, amat mendukacitakan jika berlaku sebarang percanggahan pendapat dalam hal penting antara komponen Kerajaan Perpaduan.
Ia susulan tindakan, Speaker Dewan Rakyat menolak untuk mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sah berlandaskan undang undang.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zuhir berkata, Adam Adli dicadangkan untuk menasihati Speaker yang datang daripada partinya supaya tidak mengambil tindakan yang akan menambah bencana di masa hadapan.
“Akta Anti Lompat Parti perlu disemak semula. Terdapat ruang-ruang yang mesti diperbaiki. Setiap ahli Parlimen mesti sedar terhadap realiti kelompongan ini.
"Kita mesti akui bahawa adanya kelemahan dalam akta ini yang bersifat separuh masak,” ujarnya.
Menurutnya lagi, UMNO bimbang dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mungkin menetapkan contoh dan precedent tersasar.
Ujar beliau, kesalahan tersebut mungkin perlu dibayar dengan harga yang mahal pada masa akan datang.
“Tidak pelik kalau rakyat makin muak dengan orang politik yang mungkin hanya memikirkan soal tembolok sendiri sahaja,” tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!