Sundang Mat Kilau, Tok Gajah dipamerkan selama 6 bulan
TAIPING - Pedang atau keris panjang yang pernah digunakan pahlawan Melayu Mat Kilau dan Tok Gajah menjadi antara tarikan yang dipamerkan dalam Pameran Sundang: Seni dan Kuasa di Muzium Perak di sini.
Senjata berusia sekitar 500 tahun itu dibawakan khas dan merupakan koleksi berharga yang berjaya dikumpulkan Pengasas Yayasan Al-Amin, Muhamad Abdullah untuk tatapan umum sepanjang pameran selama enam sebulan bermula 24 Jun hingga 31 Disember depan.
Muhamad yang merupakan pengumpul koleksi sundang berkata, selain sundang Mat Kilau dan Tok Gajah, tiga lagi senjata antik warisan kepahlawanan Melayu yang turut dipamerkan adalah daripada Imam Perang Teh, Raja Kuning Pattani dan Sultan Mahmud.
Menurutnya, kelima-lima sundang yang digelar 'Sundang Pahlawan Melayu' tersebut dikumpulkan bermula tahun 2020 lalu diperoleh daripada waris yang menyimpannya sejak turun-temurun.
"Kebanyakan waris-waris ini sudah tidak mahu lagi menyimpan senjata ini. Jadi apabila kita menyatakan hasrat untuk menjaga, mereka beri kebenaran.
"Saya anggap lima sundang ini sebagai berharga kerana senjata ini digunakan pahlawan-pahlawan yang kita kenali dalam mempertahankan tanah air.
"Senjata lain kita tahu ia dimiliki seseorang, cuma tidak semua kita tahu siapa tuannya," katanya ketika ditemui pemberita sempena perasmian program Semarak@Muzium Perak di sini pada Sabtu.
Program dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kassim.
Secara keseluruhan pameran tersebut melibatkan 211 jenis sundang yang wujud bermula penghujung abad ke-15 di kepulauan Melayu meliputi Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Tanah Melayu termasuk selatan Filiphina.
Melalui pameran itu, Muhamad mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai individu pengumpul koleksi senjata sundang terbanyak.
Muhamad berkata, sundang merupakan satu-satunya pedang yang memiliki identiti Melayu dan banyak digunakan oleh orang Melayu dan suku-sukunya sejak zaman dahulu sama ada di istana sebagai alat kebesaran diraja, pahlawan atau orang biasa.
Katanya, proses mengumpulkan semua koleksi sundang berkenaan memerlukannya mengembara ke seluruh pelusuk kepulauan Nusantara antaranya Riau, Lingga, Sulawesi dan Makassar.
"Semua yang saya jumpa memberi kerjasama. Contoh ketika kembara saya di Kalimantan, mereka beri sundang Mufti Kalimantan kepada saya dengan begitu sahaja," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!