Keputusan Speaker silap, boleh cabar di mahkamah - Hassan Karim

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah adalah benteng terakhir untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Bersatu boleh mencuba menerusi tindakan undang-undang itu untuk mendapatkan keadilan walaupun dilihat akan menempuh jalan yang sukar.

"Agak susah untuk berjaya kerana wujudnya Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan (prosiding Dewan Rakyat tidak boleh dibawa ke mahkamah). Tetapi tidak rugi untuk mencuba," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, Johari memaklumkan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu selepas mengkaji semua perkara dan telah dimaklumkan kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee melalui sepucuk surat bertarikh 9 Julai.

Pada 20 Jun lalu Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut, Hassan berkata, jalan kedua adalah dengan mengadakan protes di jalanan seperti yang dicadangkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, tindakan tersebut dibenarkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun.

"Maka mereka boleh berhimpun, syaratnya aman, beri notis kepada polis. Jangan bawa senjata, jangan berhimpun di kawasan yang tidak dibenarkan," ujar beliau.

Jika semua syarat dipatuhi katanya, mereka boleh gunakan hak tersebut sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi tetapi perlu berhimpun secara aman dan pihak polis akan membantu dan memantau.

Menurut Hassan, sekiranya kedua-dua usaha tersebut gagal membuahkan hasil, Bersatu perlu menunggu rakyat membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengenai keputusan Johari, Hassan berpendapat, keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu adalah silap tetapi tidak boleh dibicarakan di mahkamah.

"Soal sama ada saya setuju atau tidak adalah tidak relevan sama sekali. Semua pihak termasuk saya kena terima hakikat bahawa sistem demokrasi di negara kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa atau 'separation of powers'.

"Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan adalah contoh punca kuasa bagi sistem pengasingan kuasa beroperasi di negara kita," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!