UMNO Terengganu perlu berubah fokus tangkis persepsi, tohmahan - Zahid

Ahmad Zahid (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang pada Sabtu. Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - UMNO Terengganu perlu berubah dengan memberi tumpuan untuk menyusun strategi bagi menangkis pelbagai persepsi dan tohmahan sekiranya berhasrat menyemarakkan semula parti di negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan itu perlu bermula daripada tumpuan parti yang sebelum ini yang terlalu memfokus kepada politik pembangunan dan perkhidmatan.

"Apa rancangannya?... tiada parti lain yang beri pembangunan dan perkhidmatan kecuali Barisan Nasional di Terengganu.

"Apa sahaja kehendak rakyat akan disantuni oleh kepimpinan UMNO tapi kita masih kalah... jelas ditolak sebab kita masih belum berubah... di minda pengundi ialah persepsi, isu dan sentimen," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang di sini pada Sabtu.

Justeru, beliau menggesa kepimpinan UMNO Terengganu agar memanfaatkan media sosial sebaik mungkin dan tidak terlalu bergantung kepada media tradisional semata-mata.

Sebahagian perwakilan melaungkan kata-kata semangat pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang pada Sabtu. Foto Bernama
Sebahagian perwakilan melaungkan kata-kata semangat pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang pada Sabtu. Foto Bernama

"Kaedah kita kena berubah. Isu kita kena tangani. Akuilah kita kecundang... tidak ada satu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri Terengganu kita menang.

"Dalam keadaan itulah saya ulangi kita boleh kekal tapi jangan terlalu fokus politik pembangunan dan perkhidmatan sebaliknya kena tangani isu yang selama ini dibaling ke arah kita dan kita diam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga tidak menafikan bahawa kekalahan UMNO adalah disebabkan kelemahan parti ekoran wujudnya isu di peringkat dalaman sekali gus menidakkan kekuatan pihak lawan yang memungkinkan kemenangan mereka.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan tidak akan mendiamkan diri dan akan terus memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selagi saya menjadi Presiden, saya akan terus perjuangkan nasib Datuk Seri Najib. Isu timbul apabila orang UMNO sendiri timbulkan masalah... kata UMNO cakap tak serupa bikin padahal kita yang usahakan... ada yang saya tidak boleh ceritakan secara umum apa yang kita buat.

"Cukuplah saya dan rakan-rakan tidak akan berhenti perjuangkan nasib beliau," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!