Agrobank sedia RM200 juta bantu peneroka Felda miliki rumah

Tengku Ahmad Badli Shah (kiri), Yunos (dua dari kiri), Ahmad Shabery (dua dari kanan) dan Mahadzir ketika bergambar dalam sesi penyerahan cek Agrobank RM200 juta di MAEPS, Serdang pada Sabtu.
Tengku Ahmad Badli Shah (kiri), Yunos (dua dari kiri), Ahmad Shabery (dua dari kanan) dan Mahadzir ketika bergambar dalam sesi penyerahan cek Agrobank RM200 juta di MAEPS, Serdang pada Sabtu.
A
A
A

AGROBANK memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada golongan peneroka Felda yang memohon rumah melalui Program Kediaman Mampu Milik-i.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, menerusi peruntukan di bawah Program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) itu, pihaknya menyasarkan permohonan lebih daripada 2,000 peneroka Felda menjelang tahun depan.

Ujar beliau, pihaknya telah mengagihkan pembiayaan yang telah diluluskan kepada 566 permohonan.

"Setakat ini kita telah menerima permohonan sebanyak RM137 juta dan kita sasarkan akhir tahun ini atau awal tahun depan, kita akan mengguna sepenuhnya RM200 juta dana yang kita peruntukkan itu.

"Kita telah mulakan program ini daripada 2022 dan kita mendapat banyak sambutan yang baik daripada peneroka-peneroka Felda untuk membina rumah di atas tapak-tapak perumahan peneroka itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Agrobank RM200 juta untuk Program Pembiayaan Perumahan Felda Sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat Felda, Mahadzir Mustafa.

Dalam pada itu, ulas Tengku Ahmad Badli Shah, Agrobank dan Felda telah bekerjasama menyokong kuat PGBF, di pelbagai lokasi strategik di seluruh negara termasuk Felda Inas, Felda Keratong, Felda Padang Piol, Felda Pasir Besar, Felda Selendang, Felda Selancar, Felda Pasoh, Felda Sungai Koyan, Felda Sungai Tiang, dan Felda Laka Selatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank bagi memastikan kemudahan pembiayaan itu dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai peneroka Felda seluruh negara.

"Rumah adalah satu keperluan asas yang diperlukan oleh setiap individu sebagai tempat berlindung.

"Keinginan untuk memiliki sebuah rumah dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat kerana ramai yang sedia maklum bahawa ia adalah aset jangka masa yang panjang.

"Walau bagaimanapun, harga rumah dan tanah yang kian meningkat menyebabkan faktor kewangan menjadi isu utama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman mereka sendiri terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dalam industri pertanian," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!