Mahkamah Pakistan bebaskan bekas PM Imran Khan daripada tuduhan terkini

Penyokong Imran memegang sepanduk gambar bekas Perdana Menteri itu di luar mahkamah. Foto EPA
Penyokong Imran memegang sepanduk gambar bekas Perdana Menteri itu di luar mahkamah. Foto EPA
A
A
A

NEW DELHI - Sebuah mahkamah di Islamabad pada Sabtu membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan isterinya Bushra Bibi, membatalkan keputusan dalam kes perkahwinan tidak sah yang membuka jalan bagi kemungkinan pembebasan Khan, lapor Sputnik.

Imran dan isterinya sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana didakwa bernikah terlalu awal selepas perceraian Bibi daripada perkahwinan sebelumnya yang melanggar norma-norma Muslim.

"Kedua-dua rayuan yang difailkan oleh perayu 1 dan 2 diterima, penghakiman mahkamah perbicaraan bertarikh 3 Februari 2024 dibatalkan dan kedua-dua perayu dibebaskan daripada tuduhan," menurut keputusan itu.

Keputusan itu juga menyatakan bahawa kecuali terdapat tuduhan lain yang masih menunggu terhadap bekas perdana menteri dan isterinya, mereka harus dibebaskan dari penjara serta-merta.

Imran, yang mengetuai kerajaan Pakistan dari 2018 hingga 2022, telah disingkirkan daripada jawatan pada 10 April 2022, selepas tewas dalam undi tidak percaya terhadapnya.

Pada Ogos 2023, Imran telah ditahan berikutan kes penipuan yang melibatkan penjualan barang berharga yang disimpan dalam perbendaharaan negara.

Beberapa tuduhan lain kemudian difailkan terhadapnya, termasuk pengkhianatan kerana mengedarkan maklumat sulit dan beberapa tuduhan lain.

Semasa proses rayuan, kebanyakan pertuduhan terhadap Imran telah digugurkan, tetapi bekas Perdana Menteri itu masih dalam tahanan dalam kes pernikahan tidak sah. - Bernama-Sputnik

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!