Buli siber: Cadang akta baharu letak tanggungjawab kepada pemilik media sosial

Gobind Singh
Gobind Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Digital mencadangkan satu undang-undang baharu dipertimbangkan bagi meletakkan tanggungjawab ke atas pemilik platform media sosial bagi kes penyalahgunaan termasuk melibatkan buli siber.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, signal jelas perlu dihantar bagi menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan tersebut dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting bagi tujuan itu.

Ujar Gobind, beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan mengenai isu buli siber tersebut ketika mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

“Saya juga mencadangkan agar undang-undang baharu dipertimbangkan untuk meletakkan tanggungjawab ke atas tuan punya platform agar memastikan bahawa tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian berterusan.

“Kementerian saya akan menyokong usaha-usaha Menteri Komunikasi untuk memperkukuhkan lagi perundangan yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu ke arah tersebut pada masa hadapan.

“Kementerian saya juga sedia membantu di dalam perkara ini sekiranya sebarang bantuan diperlukan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 5 Julai, seorang pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu atau Esha, 29, dilaporkan maut dipercayai tertekan akibat dibuli di media sosial.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap masalah buli siber.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujar Gobind, sebagai Menteri Digital, beliau telah menegaskan bahawa tindakan segera harus diambil dalam kes-kes buli siber di negara ini.

“Kami perlu memastikan bahawa platform yang didirikan adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan yang penting sekali, ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

“Kes-kes buli siber mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera. Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil.

“Undang-undang sedia da, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Komputer, memang wujud dan boleh dikuatkuasakan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!