'Ini bukan soal takut, ini soal Perlembagaan' - Fahmi
SERDANG - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menepis dakwaan kononnya kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli Bersatu kerana takut kalah dalam pilihan raya.
Menteri Komunikasi itu berkata, kerajaan ketika ini menghormati ketetapan yang termaktub dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti.
"Ini bukan soal takut atau tidak takut. Ini soal Perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di sini malam ini.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerusi terbabit tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan.
Muhyiddin berkata, disebabkan itu, Kerajaan Perpaduan sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Antilompat Parti yang diperjuang oleh mereka sendiri.
Pada 10 Julai lepas, beliau memaklumkan telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menolak permohonan Bersatu agar kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.
Ahli Parlimen yang terkait isu itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada Khamis lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi Selat Klang yang disandang oleh Datuk Abdul Rashid Asari.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pertikaian di media sosial seperti TikTok ketika ini mengimbas kembali kenyataan Muhyiddin sewaktu perbahasan Akta Antilompat Parti yang jelas bercanggah dengan pendekatan beliau ketika ini.
"Muhyiddin (ketika itu) menyatakan bahawa pemecatan tidak harus menjurus kepada pengosongan kerusi ... kalau kita teliti kenyataan Muhyiddin sekitar November 2022 sejurus selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata tidak salah ahli UMNO menyokong beliau jadi Perdana Menteri.
"Jadi saya lihat Muhyiddin adalah seorang hipokrit yang telah lupa apa dia cakap sama ada dalam Parlimen atau sejurus selepas PRU15,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan supaya Akta Antilompat Parti diperketat, beliau berkata, kerajaan sedia meneliti perkara itu dan secara prinsipnya, pimpinan PH sejak dahulu mahu ia dilaksanakan dengan ketat.
"Perdana Menteri ada nyatakan kita boleh teliti perkara ini, ia bukan perkara mudah dan kena ingat dahulu wakil daripada PH dan sejumlah hampir kesemua terlibat perbincangan waktu itu termasuk daripada UMNO yang menyokong agar Rang Undang-Undang Akta Antilompat Parti bersifat lebih ketat.
"Yang paling tidak setuju dahulu ialah Ahli Parlimen seperti Muhyiddin, Radzi Jidin dan Hamzah Zainuddin. Maka kami secara prinsipnya memang setuju diketatkan lagi apa-apa aspek pada waktu ini yang ada kelompangan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Antilompat Parti.
Anwar, yang juga Pengerusi PH, dipetik sebagai berkata, pada 2022 pihaknya pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta tersebut dibuat namun ditolak oleh kerajaan ketika itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!