Insiden termakan keropok beracun: ‘Wake-up call' buat KKM

Dr Dzulkefly. Foto Bernama
Dr Dzulkefly. Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Kejadian dua kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah menjadi peringatan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menumpukan usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi penggunaan serta penjualan racun seumpama itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejadian itu mengingatkan pihaknya terutama penguat kuasa agar memberikan perhatian terhadap bahaya racun tersebut kepada manusia kerana mempunyai toksisiti yang sangat tinggi hingga boleh membawa maut.

"... ia ‘wake-up call' mengingatkan kita terutama penguat kuasa KKM bagaimana peraturan ataupun SOP perlu kita perketatkan dari sudut penggunaan dan penjualan (racun sedemikian)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan sesi 'walkabout' premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Makanan Laut di sini malam ini.

Dr Dzulkefly menyerahkan plak notis pengiktirafan 'Bersih dan Selamat' kepada para peniaga di Kompleks Makanan Laut (Komalaut) 2 Kuala Perlis pada Sabtu. Foto Bernama
Dr Dzulkefly menyerahkan plak notis pengiktirafan 'Bersih dan Selamat' kepada para peniaga di Kompleks Makanan Laut (Komalaut) 2 Kuala Perlis pada Sabtu. Foto Bernama

Laporan media menyatakan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, berada dalam kritikal selepas termakan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim pada Ahad lepas.

Kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir pada pagi Rabu lepas, disusuli Muhammad Luth Syauqi tengah hari semalam.

Dr Dzulkefly berkata, usaha untuk memperketatkan SOP itu juga akan melibatkan kerjasama KKM dengan agensi lain berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, 122 operasi di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dilaksanakan di Perlis dari Januari hingga Jun lepas, dengan 1,503 notis kesalahan telah dikeluarkan.

"Daripada jumlah itu, 186 notis kesalahan adalah di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 berkaitan larangan merokok di tempat makan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!