'Pas menentang langkah ke arah perubahan liberal berkonsep sekularisme' - Hadi
SHAH ALAM - Pas membatalkan kerjasama dengan parti-parti yang mengheretnya keluar dari sempadannya apabila nyata memusuhi Islam, menafikan kedaulatan dan kepemimpinan agama tersebut.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan menafikan kepimpinan parti itu termasuk sekularisme atau memesongkan dari hala tujunya dengan menggunakan istilah dan bahasa menggoda seperti liberal, progresif serta madani.
“Pas boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam titik persamaan yang tidak mengheret Pas keluar dari prinsip beristiqamah, beraqidah Islam, dan berkonsepkan Islam memimpin bukan dipimpin.
“Pas yang berpegang kepada aqidah Islam dan syariatnya yang sempurna menentang langkah ke arah perubahan berjenama progresif atau liberal yang berkonsepkan sekularisme serta sesiapa yang bersekongkol dengannya.
“Konsep ini nyata mencabar Islam dan konsep kepemimpinannya, sama ada oleh satu parti seperti DAP dan sepertinya ataupun kerjasama gabungan seperti Pakatan Harapan (PH) dan komponennya walaupun berjenama Islam,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Dalam pada itu, ujarnya, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Islam Liberal: Cabaran Gerakan Islam’, dalam Liqa’ Fikri Pas Pusat pada Sabtu.
Menurutnya, konsep liberalisasi pada hari ini telah menghilangkan harga diri manusia di negara yang beramal dengannya.
“Runtuhnya harga diri manusia dan musnahnya hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, sehingga manusia menjadi lebih hina daripada binatang.
“Mereka membenarkan perkahwinan sejenis atas nama kebebasan setelah mereka mengizinkan hubungan tanpa perkahwinan yang telah merosakkan institusi kekeluargaan.
“Bukan sahaja pakaian dan makanan yang tanpa peduli akan halal dan haram, bahkan telah membawa penyakit roh dan jasad,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!