SRG pasukan pertama dari Malaysia beraksi di pentas final MSC MLBB
PASUKAN Selangor Red Giants menjadi pasukan pertama dari Malaysia beraksi di pentas final kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, selepas menewaskan wakil Singapura, NIP Flash di Riyadh, Arab Saudi sebentar tadi.
Pada aksi separuh akhir hari ini yang menggunakan format ‘Best Of Five’, anak buah Michael Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia memulakan perlawanan dengan kemas untuk menang mudah 15 ‘kills’ berbalas lapan dalam tempoh hampir 15 minit.
Momentum kemenangan itu diteruskan oleh skuad gergasi merah dalam Perlawanan 2 apabila hanya memerlukan sekitar 12 minit untuk meraih kemenangan 19 ‘kills’ berbalas sembilan.
Pada perlawanan ketiga, SRG goyah pada awal permainan sebelum bangkit mendapatkan rentak permainan dan memperkemas aksi untuk mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan meskipun skor seri 17-17.
Mengulas kemenangan itu, John Vincent Banal atau lebih dikenali sebagai Innocent berasa gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh pasukannya.
"Kemenangan ini akan membantu kami untuk menghadapi final esok dan meningkatkan momentum kami. Bagi kami, kami hanya merendah diri dan menikmati permainan. Saya rasa perlawanan ini pasti sukar kerana lawan kami merupakan pasukan yang hebat,” katanya selepas perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia pada Sabtu.
Pada aksi final esok, wakil tunggal Malaysia itu bakal berdepan cabaran Team Falcons AP Bren Sport yang menewaskan Liquid Echo 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!