10 pemimpin tua 'masih berbisa' di dunia
TREND gerontokrasi iaitu negara ditadbir pemimpin paling veteran atau lanjut usia semakin meningkat dalam landskap politik global pada masa kini.
Ia dianggap sebagai ‘tahun emas’ buat ahli politik berkenaan. Kira-kira sedekad lalu, hanya India diterajui pemimpin berusia lebih 70 tahun.
Kini kebanyakan negara berpopulasi paling padat dan berkuasa dipimpin oleh ahli politik dalam lingkungan 70-an hingga 90-an.
Tindakan golongan itu yang masih ‘gila’ mahu memegang kuasa turut mencetuskan perdebatan ramai.
Ada berpendapat pemimpin tersebut mampu membawa kestabilan dan kepimpinan lebih cekap merangkumi pelbagai isu termasuk selok-belok diplomasi antarabangsa serta dasar ekonomi berdasarkan pengalaman mentadbir selama puluhan tahun.
Berikut ialah 10 pemimpin masih memegang tampuk pemerintahan negara pada 2024.
1. Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (81 tahun)
Tahap keupayaan mental dan fizikal Presiden ke-46 AS ini terus mencetuskan tanda tanya kepada pihak selepas beberapa insiden yang memaparkan gejala nyanyuk beliau semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Biden tetap bersemangat untuk merebut semula jawatan di Rumah Putih dan menewaskan pendahulunya, Donald Trump.
2. Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva (77 tahun)
Ahli politik veteran ini merupakan Presiden ke-39 negara Amerika Selatan itu sejak 2023. Lula da Silva pernah diangkat sebagai salah seorang politikus popular dalam sejarah Brazil.
Pada Julai 2017, beliau disabit kesalahan kes pengubahan wang haram dan rasuah selepas meringkuk di dalam penjara selama 580 hari.
3. Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina (76 tahun)
Pemimpin wanita ini pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri pada Jun 1996.
Anak kepada Presiden pertama Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman ini telah memegang kuasa selama lebih dua dekad dan merupakan Perdana Menteri paling lama pernah berkhidmat dalam sejarah, malah menyebabkan Dhaka berdepan ‘kemunduran’ demokrasi.
4. Perdana Menteri India, Narendra Modi (73 tahun)
Ahli politik veteran ini memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sejak Mei 2014.
Retorik nasionalis di bawah parti pimpinannya, Parti Bharatiya Janata (BJP) telah meningkatkan sokongan terhadap pentadbiran beliau yang kini memasuki penggal ketiga.
5. Bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (72 tahun)
Impian Menteri Pertahanan ini untuk menerajui tampuk kepimpinan akhirnya menjadi realiti apabila beliau menang pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 bersama pasangan regunya, Gibran Rakabuming Raka meskipun pesaingnya mempertikaikan keputusan yang berpihak kepada mereka.
Prabowo akan menjadi Presiden ketiga yang mempunyai latar belakang tentera selepas Suharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.
6. Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif (72 tahun)
Politikus veteran yang juga ahli perniagaan ini dilantik sebagai Perdana Menteri ke-24 Pakistan di bawah penubuhan kerajaan campuran selepas kekecohan Pilihan Raya Umum, awal tahun lalu.
Pejuang kanser ini pernah memegang jawatan itu pada April 2022 selepas penyingkiran Imran Khan menerusi proses undi tidak percaya di Parlimen.
7. Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu (72 tahun)
Pemimpin ini merupakan Presiden ke-16 Nigeria dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Gabenor Negeri Lagos (1999-2007).
Bekas Menteri Sumber Petroleum itu pernah menjadi aktivis yang menuntut kerajaan mengembalikan semula demokrasi di bawah gerakan Gabungan Demokrasi Kebangsaan.
8. Presiden Rusia, Vladimir Putin (71 tahun)
Bekas pegawai risikan ini pernah memegang jawatan tertinggi sebagai Perdana Menteri dan Presiden sejak 1999. Kemenangan beliau pada Pilihan Raya Presiden, Mac lalu sekali gus mengekalkan pemerintahan untuk penggal kelima telah mengundang pelbagai reaksi setelah Putin dijangka terus berkuasa sehingga 2030.
9. Presiden China, Xi Jinping (70 tahun)
Pemimpin negara ekonomi kedua terbesar di dunia ini merupakan ‘politikus penting’ di Beijing sejak 2012. Parlimen China pernah meminda perlembagaan yang memberikan kuasa lebih meluas kepada beliau.
Di bawah pentadbirannya, Jinping melancarkan kempen antirasuah besar-besaran.
10. Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador (70 tahun)
Beliau menerajui negara Amerika Utara itu sejak 2018.
Penggal pentadbiran beliau dijadualkan berakhir pada September depan dan digantikan Claudia Sheinbaum yang bakal dilantik sebagai Presiden wanita pertama Mexico.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!