Lelaki lemas jatuh laut ketika memancing di Pantai Bagan Lalang
SEPANG - Seorang lelaki ditemukan lemas setelah terjatuh dalam laut ketika memancing dalam kejadian dekat Pantai Bagan Lalang di sini pada Sabtu.
Ketua Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian terbabit diterima pada jam 5.16 petang.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 27 tahun itu sedang memancing di lokasi berkenaan.
"Mangsa tergelincir sebelum terjatuh dalam laut dan dipercayai lemas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan anggota Angkatan Pertahanan Awam bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira jam 6 petang dekat muara Bagan Lalang oleh nelayan yang melalui kawasan itu.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 6.20 petang," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!