Cubaan seludup minyak masak peket ke negara jiran gagal
TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 476 kilogram minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran dalam serbuan di tepi jalan Pohon Pulai, Bunohan di sini pada Jumaat.
Hasil pemeriksaan lanjut pada jam 7.40 pagi itu mendapati sejumlah kotak-kotak mengandungi minyak masak peket telah ditemukan di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang kenderaan jenis Perodua Kancil.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kejayaan terbabit adalah berdasarkan maklumat risikan dimana mendapati kenderaan itu disyaki membawa barangan bersubsidi tersebut untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
"Pasukan operasi berjaya mengesan kenderaan tersebut yang di parkir di tepi jalan Pohon Pulai, Bunohan.
"Walau bagaimanapun suspek telah melarikan diri ke arah semak berhampiran dan gagal dikesan pasukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, minyak masak peket bernilai RM1,190 itu dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ujarnya, KPDN Kelantan sentiasa melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini bersama dengan agensi berkaitan dari masa ke semasa.
Azman memberitahu, dalam masa yang sama juga pihaknya mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Pemantauan dan Rondaan Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara.
"KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral penyelewengan barang kawalan supaya menghentikan segera serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan tegas akan diambil selanjutnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!