[VIDEO] Ikan Sikang Sungai Berang jadi idaman kaki pancing

A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Keunikan yang ada pada spesies ikan sikang atau nama saintifiknya raiamas guttatus menjadi tarikan utama kaki pancing termasuk dari luar negara untuk mengunjungi habitat ikan tersebut di Sungai Berang, Kampung Betong, di sini.

Biarpun spesies tersebut tidak begitu popular dalam kalangan kaki pancing, namun ia menjadi idaman bagi mereka yang menggemari seni tangkapan ikan melalui kaedah pancing layang.

Pengasas Terengganu Fly Fishing Club (TFFC), Christopher John Mcllravy, 45, berkata, kaedah pancing layang merupakan teknik memancing yang sesuai digunakan untuk menangkap ikan tersebut dengan berkonsepkan tangkap dan lepas.

Christopher bersama ikan sikang yang ditangkap menggunakan teknik pancing layang di Sungai Berang, Hulu Terengganu.
Christopher bersama ikan sikang yang ditangkap menggunakan teknik pancing layang di Sungai Berang, Hulu Terengganu.

Menurutnya, sifat ikan tersebut yang sensitif memerlukan kaedah tangkapan yang betul bagi memastikan aktiviti itu tidak menggangu kelestarian hidupan itu.

"Teknik pancing layang berbeza dengan kaedah lain kerana ia menggunakan tali bersama umpan ringan yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti bulu burung, gabus dan lain-lain bahan.

Christopher menunjukkan umpan buatan yang dihasilkan sendiri untuk menangkap ikan sikang.
Christopher menunjukkan umpan buatan yang dihasilkan sendiri untuk menangkap ikan sikang.

"Umpan-umpan ini akan dibentuk menyerupai serangga atau makanan ikan yang lain bagi menarik perhatian ikan tersebut untuk mendekati joran.

Artikel Berkaitan:

"Bahan itu akan diikat pada mata kail yang tidak mempunyai cangkuk pada bahagian atas agar tidak mencederakan ikan tersebut sebelum dilepaskan kembali ke habitatnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan pancing layang di Sungai Berang, di sini pada Sabtu.

Menurut Christopher, selain Sungai Berang terdapat beberapa kawasan yang menjadi habitat ikan sikang di Terengganu iaitu di Belukar Bukit serta di Sungai Loh, Hulu Dungun.

Katanya ikan itu turut dijumpai di beberapa sungai lain seperti di Sungai Pergau, Jeli, Kelantan; Sungai Kenaboi, Negeri Sembilan dan beberapa sungai di Kedah, Perak dan Johor.

Antara ikan sikang bersaiz besar yang berjaya ditangkap di Sungai Berang, Hulu Terengganu mencapai panjang mencecah 35 sentimeter (sm).
Antara ikan sikang bersaiz besar yang berjaya ditangkap di Sungai Berang, Hulu Terengganu mencapai panjang mencecah 35 sentimeter (sm).

"Ikan ini biasanya tinggal di kawasan sungai yang berpasir dan berbatu halus, ia tidak tinggal di kawasan lubuk atau aliran sungai biasa kerana memerlukan habitat yang sesuai bagi mengelak dikesan pemangsa.

"Habitat seperti itu juga digemari kerana terdapat sumber makanan seperti serangga, anak udang, dan ikan-ikan kecil selain sesuai untuk ia bertelur dan membiak,"katanya.

Christopher memberitahu, ikan tersebut sering dikaitkan dengan spesies ikan trout iaitu spesies ikan air tawar yang terkenal di luar negara malah ada yang menggelarnya sebagai Malayan trout.

Bagaimanapun, katanya, ikan sikang tergolong dalam keluarga ikan kelah, lampam, temoleh dan beberapa spesies ikan yang serupa dengan spesies tersebut.

Christopher (kanan) menunjukkan ikan sikang yang berjaya ditangkap di Sungai Berang dalam tempoh kurang 30 minit menggunakan teknik pancing layang.
Christopher (kanan) menunjukkan ikan sikang yang berjaya ditangkap di Sungai Berang dalam tempoh kurang 30 minit menggunakan teknik pancing layang.

"Gelaran ikan trout diberikan terhadap ikan sikang kerana ia mirip dengan ikan tersebut namun sebenarnya kedua-dua jenis ikan itu daripada keluarga yang berbeza.

"Ikan trout mempunyai sirip pada bahagian belakang berdekatan ekor yang tiada pada ikan sikang," ujarnya.

Christopher yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat mula berhijrah ke Malaysia pada 2017 dan bekerja dengan salah sebuah agensi pelancongan di sini.

Bapa kepada lima anak itu menemukan serta mengkomersialkan kawasan yang menjadi habitat ikan sikang di Hulu Terengganu ke peringkat antarabangsa dengan penganjuran lima siri Terengganu Fly Fishing Fest sejak 2018.

Jelasnya, habitat ikan sikang perlu dipelihara dengan baik bagi memastikan spesies berkenaan dapat membiak mencapai saiz yang ideal sekali gus memberi manfaat buat penduduk setempat.

"Kita harap kawasan sungai yang menjadi habitat ikan sikang ini dapat dipelihara dengan baik seperti seperti kawasan santuari kelah di Tasik Kenyir.

"Jika ia dipulihara dengan baik, ikan sikang di sini boleh membesar sehingga mencapai berat 1 kilogram, " katanya

Sementara itu, Pengerusi Terengganu Fly Fishing Club, Ramli Ngah, 50, berkata, penubuhan kelab itu bertujuan memperkenalkan teknik pancing layang di samping memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Christopher (kiri) dan Ramli menunjukkan papan tanda kawasan pancing layang di Sungai Berang, Hulu Terengganu.
Christopher (kiri) dan Ramli menunjukkan papan tanda kawasan pancing layang di Sungai Berang, Hulu Terengganu.

"Aktiviti pancing layang ini lebih lebih kepada hobi dan kepuasan kerana ikan-ikan yang ditangkap akan dilepaskan kembali ke habitat asal. Jadi kita mahu memanfaatkan kawasan di sekitar kampung ini kerana ia merupakan kawasan yang kaya dengan flora dan fauna semula jadi.

"Dalam masa yang sama kita juga mahu mendidik masyarakat untuk bersama- sama dalam usaha untuk memulihara kawasan yang menjadi habitat spesies ikan tersebut," ujarnya.

Menurut Ramli, penemuan habitat ikan sikang di Sungai Berang menggamit kunjungan pemancing dari luar Terengganu untuk mendapatkan lesen menaikkan ikan tersebut.

"Pada peringkat permulaan aktiviti pancing layang di sini hanya dibuat sebagai hobi oleh penduduk setempat. Apabila mendapati hanya disini terdapat induk ikan sikang, kita berusaha memastikan kawasan ini dapat digazet supaya spesies ikan ini tidak pupus.

"Dalam masa yang sama kita menganjurkan program bagi memperkenalkan kawasan ini kepada masyarakat dan ia berjaya. Penganjuran program Terengganu Fly Fishing Fest sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan) tahun 2020 berjaya menarik lebih 30 peserta luar negara, "katanya.

Berdasarkan rekod, ikan sikang berada dalam keluarga cyprinidae iaitu keluarga ikan air tawar yang terbanyak di dunia dimana salah satu genus yang berada dalam keluarga ini ialah riamas.

Terdapat 17 spesies di bawah kategori genus ini di seluruh dunia dan hampir semuanya hidup di benua Afrika, hanya terdapat dua spesies yang muncul di benua asia iaitu riamas bola (Asia Selatan) antaranya di India dan Bangladesh serta riamas guttatus yang ada di Asia Tenggara antaranya Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!