Serangan al-Mawasi: Israel tidak hormati nyawa manusia, undang-undang

Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mendakwa lebih 70 terkorban manakala kira-kira 289 lagi cedera dalam kempen pengeboman ganas terbaharu dilancarkan rejim Zionis ke atas 'bandar khemah' di Rafah.Foto AFP
Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mendakwa lebih 70 terkorban manakala kira-kira 289 lagi cedera dalam kempen pengeboman ganas terbaharu dilancarkan rejim Zionis ke atas 'bandar khemah' di Rafah.Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel selepas melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian al-Mawasi sehingga mengorbankan ratusan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut jelas menunjukkan kezaliman dan tidak menghormati nyawa manusia selain bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman berterusan oleh rejim Israel.

"Serangan ini bercanggah dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa kerana ia dilakukan di zon 'selamat' seperti yang ditetapkan oleh Israel sendiri untuk rakyat Palestin,” katanya pada Ahad.

No Image Caption

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mendakwa lebih 70 terkorban manakala kira-kira 289 lagi cedera dalam kempen pengeboman ganas terbaharu dilancarkan rejim Zionis ke atas 'bandar khemah' di Rafah.

Pembunuhan beramai-ramai itu menyasarkan zon selamat di kem al-Mawasi iaitu tempat perlindungan puluhan ribu penduduk di selatan Gaza yang hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas lanjut, menurut Kementerian Luar Negeri, keganasan tersebut telah melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024) dan ia perlu dihentikan bagi melindungi penduduk awam.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan segera bagi mengakhiri keganasan dan menuntut pemimpin Israel untuk bertanggungjawab ke atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.

“Peperangan ini perlu segera dihentikan bagi melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!