CEO Batu terlibat kemalangan, terima lebih 20 jahitan
SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seorang pempengaruh terkenal dikenali sebagai CEO Batu mengalami kecederaan selepas motosikal Yamaha Lagenda ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM112.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Muhammad Iqbal Muhammad Nor, 21, cedera di beberapa bahagian termasuk patah sebatang gigi akibat kemalangan lebih kurang jam 1 pagi itu.
Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi dan motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Butterworth menghala ke Alor Setar.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pempengaruh itu sedang meneruskan perjalanan di lorong kiri, namun secara tiba-tiba seorang pemandu kereta mengubah laluan dari lorong kanan ke lorong kiri.
"Mangsa kemudiannya tidak sempat menekan brek dan mengelak menyebabkan penunggang motosikal terlanggar bahagian belakang sebelah kiri kenderaan wanita itu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wan Azharuddin memberitahu, akibat dari kemalangan, penunggang motosikal mengalami luka berjahit di muka sebelah kanan, luka di kaki dan tangan, patah sebatang gigi.
"Pemandu kereta Myvi didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59)," katanya.
Sebelum ini, berita kemalangan melibatkan pempengaruh terkenal itu dikongsikan di platform X menerusi akaun 'Sungai Petani'.
Perkongsian itu turut disertakan bersama foto yang memaparkan keadaan pempengaruh ketika menerima rawatan di hospital selepas kemalangan itu.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki itu terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Alor Setar apabila ada sebuah kenderaan secara tiba-tiba menukar haluan.
"Beliau dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.Cedera di bahagian tangan, patah gigi hadapan dan menerima lebih 20 jahitan di bahagian kepala," menurut perkongsian itu.
Bagaimanapun, keadaan CEO Batu dilaporkan stabil dan sudah mampu kembali berjalan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!