'Tiba masanya kotakan janji'

Laporan akhbar Sinar Harian mengenai isu air yang dihadapi penduduk.
Laporan akhbar Sinar Harian mengenai isu air yang dihadapi penduduk.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Selepas seminggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berlalu dan wakil rakyat baharu telah dipilih, penduduk di sini khususnya di kawasan Mukim 5 mengharapkan isu air yang berlarutan sekian lama akan segera diatasi.

Bagi mereka dengan berakhir proses demokrasi dalam pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu akan menjadi lembaran buat penduduk di sini untuk kembali menikmati bekalan air yang sempurna seperti penduduk di kawasan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, kini masanya telah tiba untuk semua pihak bertindak dan mengotakan janji mereka seperti yang diungkapkan sepanjang dua minggu berkempen sebelum ini.

Khairul Ahmad
Khairul Ahmad

"Kami mahu ADUN baharu, Abidin Ismail mampu jadi perantara kepada suara penduduk dan bertindak sebagai pihak pendesak yang efisien dalam memastikan masalah air penduduk Mukim 5 sentiasa mendapat perhatian semua pihak.

"Kami juga berharap Yang Berhormat (YB) mampu meneruskan kesinambungan legasi bekas ADUN sebelum ni iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff yang berjaya membawa suara penduduk Mukim 5 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Bagi memastikan setiap proses dan perkembangan isu terbabit dapat disalurkan kepada masyarakat, Khairul Ahmad juga berharap agar Pejabat Pusat Khidmat ADUN dapat meneruskan jalinan kerjasama dengan wakil penduduk, selain sentiasa mengadakan libat urus sehingga permasalahan ini berjaya dinoktahkan.

Dalam pada masa yang sama, Khairul Ahmad menuntut kerajaan negeri mengotakan janji yang diungkap semasa kempen untuk menyelesaikan isu rakyat ini walaupun kalah dalam PRK kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalah atau menang itu adat kepada sistem demokrasi. Usah terbawa-bawa sehingga terlupa pada mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

"Kalah di Sungai Bakap tidak mengubah hakikat bahawa mereka adalah kerajaan yang sah di negeri ini, mahu ataupun tidak ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri dalam menyelesaikan krisis air yang berlaku di dalam negeri ditadbir mereka," katanya lagi.

Beliau berkata, rakyat semakin bijak menilai dan memerhati pihak yang mana berusaha dalam mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini.

Tegasnya, masalah yang dihadapi bukan masalah baharu dan tidak sepatutnya berlarutan hingga enam tahun lamanya.

"Kami harap perlu ada satu penyelesaian yang segera.

"Kami tidak menolak projek berskala mega yang cuba diusahakan (Projek Air Perak-Pulau Pinang), cuma projek mega memakan masa yang lama, berapa lama lagi kami nak hadap masalah ini," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau dan penduduk lain yang terjejas berharap agar pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah menolak ketepi perbezaan politik dan cuba cari titik temu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Jelasnya, buat masa sekarang penyelasaian paling pantas dan efisien kepada permasalahan air di kawasan Seberang Perai Selatan terutamanya Mukim 5 adalah bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air di Lubuk Buntar.

Pada kempen PRK Sungai Bakap lalu, isu air yang membelenggu penduduk terutama di Mukim 5 sejak sekian lama menjadi fokus utama kedua-dua calon yang bertanding.

Bagi mereka, permasalahan itu akan cuba diatasi dengan sabaik mungkin selepas mandat dan kepercayaan diberikan oleh pengundi pada hari pengundian pada 6 Julai lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!