Akmal Nasrullah selar Sanusi isu kelewatan dua projek LRA

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyelar dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau adalah tidak serius.

Menurutnya, ini kerana projek tersebut yang dikendalikan kerajaan negeri membabitkan kepentingan dan keperluan bekalan air rakyat di negeri terbabit.

"Pelaksanaan projek tersebut sepatutnya siap pada tahun lepas dan kerajaan terpaksa mengambil langkah intervensi.

"Apabila projek itu mengalami kelewatan, tindakan paling penting diambil adalah mempercepatkan kemajuan projek tersebut dan mempunyai pelan pemulihan agar penduduk Kedah tidak lagi berdepan masalah bekalan air.

"Jangkaan projek sepatutnya siap pada tahun lepas, kemudiannya kerajaan terima EOT (tambahan masa) bahawa siap tahun ini tetapi yang terkini hasil semakan dibuat dapat lagi satu EOT iaitu tambahan 292 hari yang jangkaannya akan siap tahun depan.

"Kalau itu bukan satu masalah, bagi saya ia tak betul. Laporan ketua audit telah pun menegur bahawa rizab margin air di Kedah bukan lagi sifar, malah dah jadi negatif, itu sebenarnya masalah," katanya.

Akmal Nasrullah melontar bebola lumpur mikroorganisma efektif (EM) sebagai simbolik perasmian Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru pada Sabtu
Akmal Nasrullah melontar bebola lumpur mikroorganisma efektif (EM) sebagai simbolik perasmian Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru pada Sabtu

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Exco Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Pada Khamis, Muhammad Sanusi membidas Akmal Nasrullah yang sengaja mempolitikkan isu tersebut dengan memberi gambaran kerajaan negeri tidak pandai menguruskan projek pembangunan itu.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, hasil tinjauan yang dilakukan di LRA Sungai Limau LRA Bukit Selambau pada Selasa mendapati isu pelaksanaan projek itu disifatkan sebagai tidak serius dan boleh ditangani.

LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau telah diberikan EOT untuk disiapkan sehingga Januari dan April tahun depan dengan LRA Sungai Limau mengalami kelewatan projek tujuh peratus manakala LRA Bukit Selambau mendahului kemajuan kerja satu peratus.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pandangan Muhammad Sanusi bahawa isu tersebut kecil adalah tidak benar dan beliau berpendapat isu itu besar serta pihaknya perlu menegur untuk kepentingan rakyat Kedah.

Mengenai keperluan peruntukan tambahan, beliau berkata, perkara itu perlu dinilai kerajaan Persekutuan selepas mengambil kira faktor berkaitan isu teknikal, isu skop kerja berubah atau ada penemuan baharu yang memerlukan kerja tambahan.

"Sebab itu, komitmen yang kita harapkan ialah supaya projek itu disiapkan mengikut jadual, jika ada permohonan nak NOC (notis perubahan), kita boleh ikut saluran dan kementerian akan buat keputusan.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat 25 sungai di negara ini yang diklasifikasikan sebagai tercemar dan sembilan daripadanya di Johor.

Semua sungai yang tercemar itu katanya, berada di daerah ini iaitu Sungai Danga, ⁠Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, ⁠Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.

Jelasnya, sungai tercemar itu berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat yang berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk aktiviti perindustrian dan loji kumbahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!