Populasi ikan yu terancam

Hari Kesedaran Ikan Yu
Hari Kesedaran Ikan Yu
A
A
A

SHAH ALAM - Populasi ikan yu berdepan dengan ancaman utama iaitu penangkapan ikan secara tidak sengaja oleh nelayan di negara ini.

Ikan yu ini tidak disasarkan secara khusus oleh nelayan, bagaimanapun ia secara tidak sengaja ditangkap bersama spesies komersial yang lain.

Lebih membimbangkan ikan yu sedang menghadapi krisis kepupusan bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat global.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Muhammad Aznan Abdullah berkata, ikan yu ditangkap secara tidak sengaja semasa aktiviti perikanan kerana ia bukan spesies ikan yang disasarkan untuk dijual.

"Pada tahun 2023, pendaratan yu di perairan Malaysia adalah sejumlah 4,113 tan metrik menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2022 iaitu 3,439 tan metrik dan pada 2021 sebanyak 3,993 tan metrik.

"Merujuk data pendaratan 2023, Yu kepak hitam (Carcharhinus sorrah) spesies paling tinggi mendarat iaitu 436 tan metrik, yu cicak lampai (Chiloscyllium hasseltii) 289 tan metrik dan yu-cicak insang putih (Chiloscyllium punctatum) 284 tan metrik serta yu padi (Scoliodon laticaudus) 145 tan metrik," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, DOF menyenaraikan lima spesies ikan yu sebagai spesies ikan dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

"Antaranya yu paus (Rhyncodon typus Smith), yu sirip putih besar (Carcharhinus longimanus), yu tukul rata (Sphyrna zygaena), yu tukul

Artikel Berkaitan:

parang lekuk (Sphyrna mokarran) dan yu tukul palang (Eusphyra blochii).

"Kerajaan juga melancarkan Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ bermula tahun 2014 dan mengharamkan sajian sup sirip ikan yu dalam acara rasmi kerajaan," katanya.

Menurutnya, ikan yu diburu bagi mendapatkan sirip dan bahagian lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran selain daripada dimakan sebagai makanan tradisional.

"Penangkapan berlebihan dan penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak mengikut piawaian ditetapkan kerajaan mendorong berkurangnya populasi ikan yu.

"Pertumbuhannya yang perlahan, pembiakan yang lambat berbanding dengan ikan lain dan pengeluaran anak yang terhad juga akan memberi kesan kepada ekosistem marin," katanya.

Muhammad Aznan berkata, DOF turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan pemburuan perdagangan haram bagi ikan yu.

"Kerjasama ini untuk membanteras pemburuan haram ikan yu yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

"Selain itu, DOF mengadakan latihan pengecaman spesies ikan yu kepada agensi penguatkuasaan dan nelayan selain mengedarkan poster kesedaran kepada orang awam," katanya.

Ujarnya, bersempena Hari Kesedaran Yu pada 14 Julai (Ahad), ia diraikan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan spesies yu di seluruh dunia.

"Masyarakat diingatkan mengambil tindakan lebih berhati-hati dan tidak mencederakan atau mengganggu yu yang ditemui ketika menjalankan aktiviti di laut.

"Jika jika terdapat sebarang kes penangkapan atau kedamparan spesies ikan yu, orang ramai boleh menghubungi talian Fishcom DOF: 03-88704058," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!