Malaysia kutuk serangan Israel terhadap kem pelarian al-Mawasi - Anwar

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel terhadap kem pelarian al-Mawasi semalam, yang mengorbankan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan berterusan itu merupakan kebiadaban yang diteruskan Israel kerana kegagalan negara-negara besar dalam mempertahankan hak asasi kemanusiaan.

"Oleh itu, kerajaan Malaysia sekali lagi tegaskan pendirian kita keras mengutuk kezaliman berterusan tanpa perikemanusiaan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peneroka Felda 2024 di sini pada Ahad.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin.

Ditanya mengenai serangan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Anwar berkata Malaysia mengecam tindakan seumpama itu dan menyifatkan serangan terbabit bukan jalan penyelesaian.

"Kita baru dapat maklumat awal. Apapun pendirian kita tentang mana-mana tokoh, ini bukanlah cara penyelesaian,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan simpati kepada Trump dan mengharapkan keadaan terkawal.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Trump mengalami kecederaan dalam kejadian tembakan semasa berkempen di Pennsylvania, Amerika Syarikat semalam.

Artikel Berkaitan:

Trump kini dilaporkan dalam keadaan baik.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!