Pempengaruh maut: Reman suspek lelaki disambung dua hari lagi
KUALA LUMPUR - Suspek lelaki yang direman berkait kes ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap seorang pempengaruh media sosial sebelum ini disambung reman dua hari pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan berkaitan kes ini masih dijalankan pihaknya.
"Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan ditahan serta direman sebelum ini disambung reman dua hari lagi untuk siasatan lanjut.
"Kertas siasatan berkaitan kes ini sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, 11 individu telah dirakam keterangan bagi siasatan lanjut berkaitan kes ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan ditahan kira-kira jam 6.30 petang di Setapak, 10 Julai lalu.
Sebelum ini, pempengaruh terbabit iaitu Rajeswary Appahu, 30, atau digelar Esha ditemui meninggal dunia, 5 Julai lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Berikutan itu, polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung, Selangor jam 1.45 pagi, Isnin lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan polis mendapati penama akaun @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!