FBI anggap tembakan di perhimpunan Trump sebagai 'cubaan bunuh'

FBI masih belum mengenal pasti suspek penembak dalam serangan terhadap bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania. Foto AP
FBI masih belum mengenal pasti suspek penembak dalam serangan terhadap bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania. Foto AP
A
A
A

WASHINGTON - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) masih belum mengenal pasti suspek penembak dalam serangan terhadap bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).

Ejen di pejabat FBI Pittsburgh Kevin Rojek pada Sabtu malam berkata, FBI menganggap kejadian berkenaan sebagai percubaan membunuh calon Presiden Amerika Syarikat itu, lapor Agensi Anadolu.

"Kami mempunyai beberapa ejen di lokasi," katanya kepada pemberita di Butler.

Trump terkena tembakan pada telinga kanannya dan dalam keadaan baik selepas kejadian tembakan di perhimpunan kempennya di Pennsylvania yang turut menyebabkan seorang maut dan dua cedera.

Pegawai FBI itu berkata, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengenal pasti penyerang dan sebarang motif di sebalik insiden itu.

Rojek merayu kepada rakyat Amerika untuk membantu dengan memberikan sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

Anadolu juga melaporkan seorang saksi memberitahu BBC bahawa dia melihat seorang lelaki dengan senapang di atas bumbung beberapa minit sebelum kejadian tembakan berlaku.

Greg Smith berkata dia menunjukkan lelaki bersenjata itu kepada polis ketika suspek sedang merangkak di atas bangunan di luar lokasi acara perhimpunan di Butler County.

Artikel Berkaitan:

"Saya berfikir sendiri, ‘mengapa Trump masih berucap, mengapa mereka tidak menariknya keluar dari pentas’. "Perkara seterusnya yang anda tahu, lima tembakan kedengaran,” katanya.

Smith berkata dia melihat ejen Perkhidmatan Rahsia menembak lelaki itu yang kemudiannya disahkan meninggal dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!