Malaysia harap Kuwait beri pertimbangan isu pesawat F/A-18 Legacy Hornet
PARIT - Malaysia berharap Kuwait dapat memberi pertimbangan terhadap hasrat kerajaan memiliki pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pesawat tempur berkenaan didapati menepati dan sesuai dengan perancangan negara untuk memiliki aset tentera udara yang boleh menampung operasi ketenteraan.
Menurutnya, hasrat berkenaan sudah pun disampaikan semasa lawatan pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke negara Asia Barat itu pada Jun lalu untuk membuat penilaian sewajarnya.
"Memang kita ada menaruh minat untuk mendapat kapal terbang itu, tetapi dalam hal ini tentunya memerlukan persetujuan kerajaan Kuwait. Kita hanya berdoa, berharap kerajaan Kuwait boleh menimbang permintaan tersebut.
"Secara formal (perbincangan) kita belum buat, tetapi secara tidak formal mereka dah tahu kerana kita dah hantar pasukan buat penilaian terhadap kapal terbang itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit 2024 di D Hotel Seri Iskandar di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Sebelum ini, Mohamed Khaled memaklumkan Malaysia sedang berbincang dengan Kuwait bagi memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet setelah Tentera Udara Kuwait menerima Super Hornet baharunya.
Perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh.
Dalam perkembangan lain, Naib Presiden UMNO itu memberitahu, keputusan sama ada membeli atau melanjutkan tempoh sewaan empat helikopter Leonardo AW 139 yang digunakan bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri adalah bergantung kepada kedudukan kewangan negara.
Katanya, secara dasar kerajaan memang akan memperoleh helikopter baharu sebagai kesiapsiagaan aset ketenteraan bagi menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
"Kerajaan terutama Kementerian Kewangan sedang menimbang perkara ini.
"Dengan kawasan rantau ini yang semakin dinamik dan konflik yang berlaku semakin meningkat, maka Malaysia memang perlu pastikan aset ketenteraan kita dalam siap siaga.
"Bukanlah untuk menyerang, tetapi nak menjaga dan mempertahankan negara kita," katanya.
Mengikut laporan media, semua helikopter itu diperoleh secara sewaan sejak 2022 dari sebuah firma swasta sebagai langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC 725AP.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!