KDA FC janji beri tentangan sengit berdepan JDT Jumaat depan

Mohd. Daud (dua dari kanan) memegang dokumen program keahlian KenariCare dalam Majlis pelancaran Kad Keahlian KDA FC KenariCare di Pejabat KDA FC di sini pada Ahad.
Mohd. Daud (dua dari kanan) memegang dokumen program keahlian KenariCare dalam Majlis pelancaran Kad Keahlian KDA FC KenariCare di Pejabat KDA FC di sini pada Ahad.
A
A
A

PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berharap pemain memberi komitmen penuh ketika menerima kunjungan JDT dalam pusingan pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Mohd Daud berkata, beliau telah bercakap dengan seluruh pasukan mengenai perkara itu dan pemain juga kelihatan cukup bersemangat untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam lima perlawanan tanpa dibolosi ketika ini.

"Kita mahu beri tentangan sengit serta persembahan yang menarik. Kalau diizinkan tuhan, kita mungkin dapat keputusan luar jangka berdepan JDT yang merupakan sebuah pasukan hebat," katanya ketika sidang media sempena Majlis Pelancaran Keahlian Kad KenariCare di Pejabat KDA FC dekat sini, hari ini.

Menurutnya, jurulatih dan pemain juga diharap akan mengeluarkan 'best of the best'.

"Jangan gentar dan lawan betul-betul kerana ini peluangnya untuk para pemain menunjukkan apa yang mereka ada, yang tak pernah dikeluarkan lagi sebelum ini," katanya.

Jelas Mohd Daud, ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain juga sudah memaklumkan akan membuat perancangan rapi bagi berdepan Harimau Selatan.

"Oleh itu kami menyeru para penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium hujung minggu ini. Kita berharap Stadium Darul Aman dapat dipenuhkan dengan 25,000 penyokong bagi memberi semangat kepada para pemain kerana mereka juga manusia biasa yang memerlukan galakkan dan motivasi.

"Kami tak boleh menjanjikan kemenangan kerana JDT pasukan yang kuat tetapi para pemain diharap dapat beraksi sepenuh hati dengan kemahiran dan minda terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd. Daud memaklumkan, setakat ini masih belum ada kepastian sama ada jersi rasmi pasukan yang akan dilancarkan pada 25 Julai depan, akan memaparkan nama penaja utama di dada pemain atau tidak.

"Kalau kita dapat muktamadkan penaja tertentu sebelum pelancaran, maka nama mereka akan dipaparkan di depan jersi. Jika tidak, kita boleh paparkan kemudian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!