Peja rela hati lepas jawatan Timbalan Presiden Bersatu
KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa keputusan untuk melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilakukan secara rela hati.
Ahmad Faizal berkata, perjuangan parti itu adalah dilakukan bersama tanpa perlu memikirkan siapa yang perlu ke hadapan atau ke belakang.
"Sudah tentu (rela hati), saya di sini sebab saya antara mereka yang mengasaskan parti ini dan saya mahu melihat parti ini berjaya kerana saya yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh parti ini.
"Saya yakin dengan perjuangan dibawa Tan Sri Presiden (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan saya yakin semua rakan-rakan kepimpinan juga bersatu hati membawa perjuangan ini jadi obor.
"Jika mainkan peranan, Insya-ALLAH negara kita akan kembali berada dalam landasan yang baik bukan seperti dalam keadaan sekarang," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Peraturan Persidangan Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah keputusan itu dibuat secara rela hati atau sebaliknya.
Turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu serta Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.
Ahmad Faizal juga yakin dengan keputusan yang dibuat secara rundingan bersama itu akan menunjukkan kepada rakyat bahawa Bersatu kukuh tanpa sebarang pergelutan dalaman.
"Kami yakin apabila kami dapat tunjukkan kepada rakyat bahawa kami mampu menjaga parti kami tanpa haru-biru, buktikan kami juga jika diberi peluang boleh memerintah negeri Sabah ini dan juga boleh mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.
"Kami boleh membawa segala aspirasi rakyat jauh lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang," katanya.
Sebelum itu, Muhyiddin pada Sabtu mengumumkan Hamzah bakal menyandang jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang, manakala Ahmad Faizal memberi laluan untuk tidak menawarkan diri dalam pemilihan akan datang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!