Anwar, pemimpin dunia kecam cubaan bunuh Trump
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemimpin dunia mengutuk cubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di perhimpunan kempen pemimpin Republikan itu di Pennsylvania pada Sabtu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan seumpama itu dan menyifatkan serangan terbabit bukan jalan penyelesaian.
"Kita baru dapat maklumat awal. Apapun pendirian kita tentang mana-mana tokoh, ini bukanlah cara penyelesaian,” kata beliau kepada pemberita dalam satu majlis di sini, Ahad.
Beliau turut menzahirkan simpati kepada Trump dan mengharapkan keadaan terkawal.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata, beliau terkejut apabila mengetahui insiden tembakan yang berlaku di perhimpunan calon Presiden AS itu.
"Kami amat prihatin dan tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan. Bagi pihak rakyat Thailand, saya berharap bekas Presiden Trump segera sembuh. Ingatan kami juga bersama keluarga yang cedera dan terjejas,” katanya di X.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam menyatakan rasa terkejutnya menekankan bahawa orang ramai tidak sepatutnya menggunakan keganasan walaupun berbeza pandangan.
"Saya lega mendengar laporan bahawa beliau selamat dan sedang beransur pulih dengan baik. Ingatan kita bersama keluarga individu terbunuh serta mereka yang cedera dan terjejas oleh serangan itu,” menurut Wong di akaun media sosial beliau.
Agensi berita Yonhap melaporkan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengecam serangan itu sebagai "keganasan politik yang mengerikan". Beliau berharap Trump cepat sembuh.
"Saya terkejut dengan keganasan politik yang mengerikan ini. Saya berharap bekas Presiden Trump cepat sembuh. Rakyat Korea Selatan berdiri bersama rakyat Amerika," tulis Yoon di X.
Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban yang bertemu dengan Trump beberapa hari lalu turut menyatakan solidaritinya.
"Ingatan dan doa saya bersama Presiden @realDonaldTrump dalam saat-saat gelap ini," tulis Orban di X.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, beliau "terkejut" dengan adegan mengejutkan pada perhimpunan itu dan menghantar ucapan terbaik kepada bekas presiden dan keluarganya.
"Keganasan politik dalam apa jua bentuk tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita dan ingatan saya bersama semua mangsa serangan ini," kata Starmer.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau juga menyatakan rasa ngerinya dengan menegaskan keganasan politik tidak boleh diterima.
"Ingatan saya bersama bekas Presiden Trump, mereka yang berada di acara itu dan semua rakyat Amerika," kata Trudeau.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa supaya mengurangkan kebencian dalam pilihan raya Amerika dan menambah: "Solidariti dan harapan terbaik saya untuk pemulihan segera diberikan kepada beliau dengan harapan beberapa bulan kempen pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan dialog dan tanggungjawab mengatasi kebencian dan keganasan.”
Josep Borrell, ketua dasar luar EU mengutuk serangan itu. "Sekali lagi, kita menyaksikan tindakan keganasan yang tidak boleh diterima terhadap wakil politik," tulisnya.
Presiden Argentina, Javier Milei berharap agar Trump segera sembuh serta pilihan raya AS yang akan datang "dijalankan dengan adil, aman dan demokratik.”
Perkhidmatan Rahsia berkata, penyerang melepaskan beberapa tembakan ke arah pentas dari kedudukan tinggi di luar venue perhimpunan.
Suspek kemudian ditembak mati. Penembak itu dilaporkan menggunakan senjata api jenis AR-15, menurut Agensi Anadolu.
Insiden itu turut mengorbankan seorang penonton dan mencederakan dua yang lain.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Ahad mengenal pasti Thomas Matthew Crooks, 20, dari Bethel Park sebagai suspek penembak yang cuba membunuh Trump. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!