Lelaki OKU lemas ketika mandi kolam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan lima individu selepas seorang rakannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mati lemas dalam kejadian di kolam renang dekat sebuah hotel di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang mengatakan rakannya lemas di lokasi.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 38 tahun juga OKU iaitu lumpuh separuh badan datang bersama lima rakannya dari Subang Jaya, Selangor ke daerah ini untuk menyambut ulang tahun kelahiran dan menginap di sebuah hotel sejak Khamis lalu.

"Mangsa mandi di kolam tersebut pada jam 2 pagi Sabtu bersama rakannya dan aktiviti tersebut telah disedari oleh pihak hotel sebelum melarang mereka untuk terus mandi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati mangsa telah berenang bersama rakannya sehingga tidak menunjukkan sebarang reaksi tindak balas.

"Dia disahkan mati pada jam 4.15 pagi semasa dalam perjalanan ke Hospital yang dibawa menaiki ambulans. Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari ini jam 9.30 pagi mendapati punca kematiannya adalah disebabkan mati lemas.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan tangkapan telah dibuat ke atas dua lelaki dan tiga perempuan tempatan yang berumur 31 hingga 36 tahun.

"Semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik, manakala hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kelima-lima suspek dapati positif dadah jenis THC," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek telah dibawa reman ke Mahkamah Seremban pada Ahad dan tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari di lokap Balai Polis Port Dickson.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!