Pemuda UMNO yakin mampu rampas kerusi Nenggiri
TASEK GELUGOR - Pemuda UMNO mempunyai strategi tersendiri untuk mengembalikan sokongan golongan muda kepada calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dengan persiapan rapi jentera serta tekad semua rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi pilihan raya itu tidak mustahil kerusi DUN Nenggiri akan dapat dirampas semula dari Perikatan Nasional (PN).
"Berdepan dengan pilihan raya pastinya akan ada 1,001 kemungkinan...Hari ini kita boleh kalah mungkin lusa kita boleh menang.
"Jadi sudah tentu kita ada strategi kita yang tersendiri untuk kembali meraih sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan orang muda malah saya percaya dan yakin insya-ALLAH kerusi Nenggiri kita akan usaha sehabis baik untuk kita merampas semula," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor di sini, pada Ahad.
Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan BN merampas semula kerusi berkenaan berikutan sebelum ini PN menang pada pilihan raya negeri (PRN) lalu dengan hanya 810 undi majoriti sahaja.
Jelasnya, beliau sendiri telah turun ke kawasan berkenaan dan melihat gerak kerja yang sedang disusun atur bagi menghadapi pilihan raya terbabit.
"Ini adalah kerusi UMNO dan kita dah tengok (persiapan) dilakukan...saya rasa ada keyakinan kerusi Nenggiri ini kita akan rampas dengan izin ALLAH," katanya lagi.
Berkenaan calon yang akan ditampilkan nanti, Muhamad Akmal berkata, pastinya Pemuda UMNO telah menyenaraikan calon yang terbaik untuk diketengahkan selain mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Jelasnya, selain anak tempatan calon yang ditampilkan nanti juga mendapat sokongan di peringkat peringkat akar umbi sangat kuat.
"Jadi sudah tentulah Pemuda UMNO akan bawa satu nama untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi parti sebelum ia diputuskan nanti.
"Setakat ini belum ada lagi keputusan (nama calon yang diputuskan) tapi sudah tentu pastinya ia daripada Pemuda UMNO Kelantan," ujarnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan UMNO Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memilih individu yang akan mewakili BN pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!