Remaja nyaris maut termakan biskut dicampur racun

Mangsa dikatakan telah menemui dan memakan sekeping biskut yang telah dicampur racun oleh pemilik kebun bagi tujuan membunuh kera. Foto PDRM
Mangsa dikatakan telah menemui dan memakan sekeping biskut yang telah dicampur racun oleh pemilik kebun bagi tujuan membunuh kera. Foto PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Seorang remaja lelaki dari Kampung Dadong di sini, nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun di sebuah kebun pada Jumaat lepas.

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, menyatakan anaknya, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, pengsan selepas makan sekeping biskut yang digantung di atas sebatang kayu di kebun tersebut.

"Anak saya bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing.

"Akibat terlalu lapar, anak saya telah makan sekeping biskut yang dipercayai dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun itu.

"Selepas makan biskut itu, anak saya pengsan dan mulutnya mengeluarkan buih sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Alias memberitahu, keadaan kesihatan anaknya itu semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital tersebut.

"Alhamdulillah... keadaan anak saya sudah stabil dan mula pulih," katanya.

Dalam pada itu, Alias menyatakan dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang Ahad.

Artikel Berkaitan:

Hanyan Ramlan
Hanyan Ramlan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!