'Aku tembak, aku tembak!'
TUMPAT - “Aku tembak, aku tembak!”
Itu ugutan penyeludup bersenjata pistol beberapa kali sebelum melepaskan dua das tembakan yang nyaris meragut nyawa penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam serbuan di Pulau Ular di sini pada 19 Jun lalu.
Salah seorang anggota berusia 39 tahun yang menceritakan kembali detik cemas itu berkata, beliau bersama tiga rakan setugas berusia 39 hingga 58 tahun keluar dari jeti di Pengkalan Kubor dengan mengemudi bot penumpas bagi melakukan rutin rondaan biasa pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan melihat anggaran 15 bot dipercayai penyeludup memunggah tong-tong mengandungi petrol.
“Kami merapati lokasi itu menyebabkan mereka memecut bot masing-masing untuk melarikan diri dengan ada yang terjun ke dalam air dan melompat ke atas bot penyeludup lain.
“Tiga anggota berjaya merampas dan naik ke sebuah bot yang mengandungi tong-tong berisi petrol sebelum diugut penyeludup di atas sebuah bot lain yang mahu menembak kami sebelum dua das tembakan dilepaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pengkalan Kubor di sini pada Ahad.
Kata Pegawai Kastam Kanan itu, dalam keadaan cemas beliau tekad memusingkan bot bagi melindungi tiga rakan setugasnya.
“Masa itu, saya hanya fikirkan keselamatan mereka dan aset negara termasuk bot dari terkena tembakan penyeludup.
“Memang sudah tawakal seandainya sampai masa atau ‘dijemput’ Ilahi ketika bertugas,” katanya.
Menurutnya lagi, pengalaman berdepan ancaman penyeludup bersenjata api tersebut kali yang ketiga dihadapinya sejak lima tahun berkhidmat di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Sebelum kejadian ini, saya pernah berdepan detik sama pada hujung April lalu apabila satu das tembakan dilepaskan oleh penyeludup ke arah jeti kastam.
“Penjenayah ini mungkin memberi amaran supaya kami tidak meneruskan operasi kerana pada masa itu kami mengadakan Op Makmur.
“Pun begitu, kami tidak pernah patah semangat dan akan terus tegar untuk berbakti demi pasukan ini dan juga negara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!