Tak perlu kerjasama jika rasa tak memberi manfaat - Kon Yeow
GEORGE TOWN - Setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan berhak menentukan bentuk kerjasama antara parti bagi memastikan pembentukan gabungan itu berjalan seperti yang dirancang.
Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow berkata, setiap parti di dalam Kerajaan Perpaduan perlu melihat kerjasama tersebut boleh memberi nilai tambah kepada parti masing-masing atau sebaliknya.
Menurutnya, sekiranya ada parti yang merasakan kerjasama tersebut tidak memberi manfaat, adalah lebih baik kerjasama itu tidak diteruskan.
"Sebenarnya persefahaman kerjasama di dalam Perpaduan adalah setelah keputusan PRU15 lalu untuk membentuk Kerajaan. Itulah persetujuan yang dicapai sebab tanya mana-mana parti pun, mereka akan menjawab bahawa kerjasama itu dikhususkan untuk tujuan membentuk kerajaan.
"Selain daripada itu, terpulang kepada setiap parti memikirkan kerjasama dalam apa juga bentuk dengan sesiapa pun. Itu dibincang dan diputuskan setiap parti. Seperti apa yang dibincangkan, sebarang perkara yang negatif ada positifnya.
"Setiap parti perlu lihat kerjasama ini, bagaimana kita boleh tambah nilai kepada kerjasama ini. Jika mereka merasakan tidak dapat tambah nilai m, mungkin itu psikologi mereka lah. Jika rasa tak boleh tambah nilai, lebih baik tidak kerjasama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'Musings In George Town' di sini pada Ahad.
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata demikian ketika mengulas mengenai Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday yang menyatakan bahawa kerjasama UMNO dengan DAP pada dasarnya tidak banyak memberikan manfaat kepada UMNO serta BN.
Malah katanya, hubungan tersebut dilihat merugikan UMNO yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.
Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba yang melihat hubungan tersebut penting dilihat semula untuk kelangsungan politik UMNO terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
UMNO Bahagian Tenggara turut mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji kembali hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!