Nicol sokong kepimpinan Hamidin

Hamidin (kiri), Nicol - Foto: Bernama
Hamidin (kiri), Nicol - Foto: Bernama
A
A
A

KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mendapat sokongan timbalannya, Datuk Nicol Ann David biarpun berdepan kritikan hebat netizen.

Malah, bekas ratu skuasy negara itu memuji kepimpinan Hamidin mengemudi persiapan kontinjen negara yang berbaki kurang dua minggu sebelum Sukan Olimpik 2024 membuka tirainya.

"Datuk Hamidin merupakan penyokong sejati pasukan dan segala yang berlaku itu sudah berlalu. Kini kita mahu fokus pada temasya berkenaan.

"Semua sudah bersedia dan tidak sabar untuk berangkat. Kami semua sudah bersiap-sedia dan mantap. Sekarang kami hanya perlu maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Herlot-Watt Malaysia pada upacara graduasi tahunan institut itu pada Ahad.

Sebelum ini, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima kritikan atas kenyataan beliau mengenai reka bentuk pakaian rasmi kontinjen negara, yang secara amnya tidak digemari peminat sukan di media sosial.

Bagaimanapun, susulan maklum balas bercampur-baur yang diterima ke atas reka bentuk bermotif harimau pada pakaian tersebut, yang dikatakan tidak cukup menyerlah, MOM telah memilih reka bentuk baharu yang menampilkan corak belang harimau lebih garang untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu juga dikaitkan dengan krisis antara Selangor FC dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membawa kepada desakan supaya beliau melepaskan kedua-dua jawatannya sebagai presiden FAM dan CDM Malaysia ke Paris 2024.

Sementara itu, Nicol berkata, berperanan sebagai timbalan CDM sejak dilantik tahun lepas sangat menarik dan mengujakan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai 'pemimpin kedua' kontinjen negara, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, jawatannya itu telah mendedahkan beliau kepada pelbagai jenis sukan dan atlet terutamanya cara mereka berlatih bagi menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

"Ia merupakan pengalaman menimba pengetahuan kerana saya hanya tahu sukan saya sahaja sebelum ini dan hanya menumpukan pada diri sendiri ketika bertanding.

"Kini peranan saya sebenarnya ketika temasya di mana kami akan membantu atlet dalam apa jua cara, sama ada daripada jawatankuasa Olimpik kepada timbalan CDM dan saya sendiri berhubung hal-hal bagi logistik, pengangkutan dan jadual," katanya.

Dalam pada itu, bekas juara dunia lapan kali itu percaya pelantikannya sebagai Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia menunjukkan bahawa atlet turut mempunyai peluang dalam bidang kepimpinan dan boleh menyumbang kepada generasi muda khususnya pelajar.

Bekas atlet berusia 40 tahun itu mengambil alih jawatan tersebut daripada doktor dan sukarelawan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada 17 Mei lalu.

Majlis graduasi hari ini menyaksikan universiti itu memberi penghormatan kepada pencapaian 300 siswazah daripada pelbagai bidang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!