Bintang 'Charmed', Shannen Doherty, meninggal dunia
PELAKON Shannen Doherty meninggal dunia akibat kanser pada usia 53 tahun.
Perkara itu disahkan pengurus publisitinya, Leslie Sloane, pada Ahad.
"Dengan berat hati saya mengesahkan pelakon Shannen Doherty telah meninggal dunia. Pada Sabtu, 13 Julai, dia tewas dalam pertempurannya dengan penyakit kanser yang dideritai selama bertahun-tahun.
"Dia menghembuskan nafas terakhir dikelilingi orang tersayang serta anjingnya, Bowie. Keluarga meminta mereka diberi privasi pada masa ini," kata Sloane dalam satu kenyataan eksklusif kepada majalah People.
Selepas didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 2015, Doherty menjalani pembedahan mastektomi serta menjalani kemoterapi dan radiasi.
Pada 2017, Doherty memaklumkan gejala kansernya mula berkurangan namun pada 2019, kanser itu kembali.
Kerjaya Doherty bermula pada tahun 1982 sebagai pelakon kanak-kanak.
Kerjaya lakonannya semakin berkembang menerusi peranan sebagai watak utama dalam siri Beverly Hills: 90210 dan Charmed. Sepanjang 42 tahun dalam industri, Doherty telah membintangi hampir 20 filem dan 40 siri televisyen. - Agensi/ Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!