KDN perkenal garis panduan al-Quran braille

Saifuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN pada malam Ahad.
Saifuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan satu garis panduan penulisan al-Quran Braille Standard Malaysia bagi membantu orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rujukan tunggal penulisan al-Quran Braille di Malaysia itu dapat memberi nilai tambah kepada industri selain memberi manfaat kepada 55,000 OKU penglihatan di negara ini agar dapat membaca dengan lebih baik dan mudah.

"KDN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan untuk menghasilkan garis panduan ini.

"Kami gabung seluruh kepakaran dan kemudian hasilkan garis panduan pencetakan supaya ada ketulenan, lebih terkawal selain ia dapat mengawal sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang mencetak al-Quran dengan versi tidak mengikut standard biasa.

"Ia antara kejayaan KDN dengan peluncuran garis panduan baharu ini kerana di peringkat global sekali pun kita antara yang ke hadapan ambil inisiatif lancar garis panduan penulisan al-Quran Braille," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN di sebuah hotel dekat sini pada malam Ahad.

Mengulas lanjut, Saifuddin menyatakan garis panduan yang diluncurkan pada hari ini merupakan satu komitmen kerajaan di bawah nilai teras ihsan Madani untuk memperkasakan komuniti sasar OKU Penglihatan.

Sementara itu, Saifuddin menyatakan pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) bagi menghimpunkan pakar-pakar dalam usaha memartabatkan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penubuhan lembaga tersebut bertujuan bagi memudahkan kawalan terhadap pencetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran kitab suci dan bahan-bahan al-Quran dalam negara.

"Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan demi menjaga kemuliaan dan kesucian al-Quran," ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menyatakan KDN juga memperkenalkan program Jom Exchange al-Quran iaitu kempen 'Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN' sebagai satu kaedah untuk menggalakkan masyarakat menukar al-Quran yang tiada perakuan KDN dengan naskhah baharu.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 31,764 naskhah teks al-Quran tiada perakuan KDN dan lusuh telah berjaya dikumpul.

"Tahap kesedaran orang ramai terhadap al-Quran yang diperakui KDN terus meningkat melalui program advokasi yang dilaksanakan," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!