Tangani isu anjing liar, kenaikan harga makanan
DIPILIH sekali lagi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tiga tahun lalu menunjukkan bahawa para pengundi kawasan itu masih memerlukan khidmat beliau sebagai wakil rakyat.
Lebih-lebih lagi, beliau juga pernah memegang jawatan Exco Kesihatan dan Anti Dadah ketika Melaka dipimpin oleh Ketua Menteri terdahulu, Adly Zahari dan hal ini mendorong beliau mahu terus memperjuangkan isu rakyat termasuk isu anjing liar.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, NOR FARHANA YAACOB dengan Chee Leong, baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Umum sedia maklum masalah anjing liar dan anjing terbiar masih lagi diperkatakan dan belum ada penyelesaian yang tuntas bagi menyelesaikan masalah ini. Apa pandangan YB dalam menyelesaikan isu ini?
CHEE LEONG: Kesedaran komuniti adalah penting untuk menjaga kebersihan awam, kesihatan awam dan ketenteraman dalam hal berkaitan anjing terutama anjing liar.
Kehadiran anjing-anjing liar merupakan satu masalah kepada penduduk di mana-mana terutama di kawasan perumahan.
Saya berharap usahasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu yang memelihara haiwan peliharaan ini dapat dieratkan untuk menangani masalah anjing liar.
Ini kerana kebimbangan kita anjing-anjing liar ini mungkin akan menyerang orang awam terutama penunggang motosikal, kanak -kanak, pejalan kaki dan pengayuh basikal sehingga berlakunya kemalangan seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Begitu juga dengan haiwan peliharaan. Adalah menjadi tanggungjawab individu yang memelihara haiwan kesayangan mereka yang mana haiwan-haiwan dipelihara harus dijaga dengan rapi dari segi kesihatan dan kebersihan.
Pihak PBT pula perlu mengurangkan populasi anjing-anjing liar dengan menjalankan operasi tangkapan yang berterusan.
NGO dan PBT juga boleh menjadualkan program kesedaran kembiri sebagai salah satu langkah mengawal populasi anjing dan binatang lain seperti kucing.
Malah orang ramai juga diminta jangan memberi makanan kepada anjing ataupun binatang liar termasuklah tidak memberi makanan kepada kucing dan burung gagak.
SINAR HARIAN: Jika dilihat masalah anjing liar sentiasa menghantui orang awam termasuk di taman perumahan baharu. Apakah cadangan YB dalam mengurangkan masalah anjing liar di kawasan perumahan?
CHEE LEONG: Memang dialu-alukan semua pihak mengambil berat dalam isu menangani masalah binatang liar. Saya harap kita boleh mencadangkan atau mengenakan syarat kepada pihak pemaju perumahan untuk memberi bantuan dari segi menyediakan sangkar atau perangkap di setiap projek perumahan baharu.
Sekurang-kurangnya ini salah satu inisiatif kita dalam usaha mengurangkan kes-kes anjing liar memandangkan kita faham kekangan tenaga kerja penguat kuasa kerana di Melaka ini terdapat banyak taman perumahan selain kampung-kampung.
Jadi sekiranya binatang itu masuk ke dalam perangkap kita boleh menghubungi PBT untuk menguruskannya dan lebih mudah.
Selain itu bagi saya kita perlu memperbanyakkan lagi kempen kesedaran orang awam tentang tanggungjawab untuk pelihara binatang harus dijadualkan supaya tidak berlaku kes-kes binatang terbiar dalam komuniti.
Dalam kehidupan bermasyarakat ini pentingnya peranan kerajaan iaitu PBT, peranan komuniti, peranan NGO dan peranan individu yang saling berkaitan.
Saya juga berharap setiap taman dapat mengaktifkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan taman agar setiap masalah yang timbul di taman-taman perumahan dapat disalurkan dengan cara yang betul untuk diambil tindakan.
SINAR HARIAN: Sebagai Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, apakah usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi membantu rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan?
CHEE LEONG: Hubungan di antara peladang kepada pengguna harus dipergiatkan dengan menyediakan medium untuk peladang atau petani kecil meraih pendapatan menerusi jualan hasil tanaman terus kepada pengguna harus dipergiatkan.
Saya yakin cara ini masih relevan dalam memastikan pengguna dan rakyat mendapat barang mentah atau hasil pertanian dengan lebih murah, lebih ekonomi dan segar. Sekali gus jualan terus ini dapat minima keuntungan orang tengah.
Sehingga sekarang juga kita masih menyokong dan menggalakkan kewujudan pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA).
Malah setiap tahun ada sahaja sasaran FAMA untuk menambahkan lagi bilangan pasar tani di negeri ini, agar pengguna lebih banyak peluang untuk membeli dengan harga berpatutan.
Selain itu tidak ketinggalan agro MADANI, Jualan Rahmah bergerak digalakkan di semua komuniti supaya rakyat dapat menikmati jualan yang lebih ekonomi dan murah lagi segar. Banyak sebenarnya usaha yang dilakukan kerajaan dalam meringankan beban dan memanfaatkan rakyat. Begitu juga sekarang ini di Melaka kita anjurkan Melaka AgroFest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Program ini menjadi platform untuk mempromosikan hasil pertanian dan keluaran usahawan bagi mengangkat produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Selain itu terdapat dapat menggelakkan lambakan buah-buahan seperti durian dan nenas kerana kita sediakan juga gerai jualan buah-buahan kepada pengguna.
Yang penting juga kita perlu berterusan menggalakkan aktiviti pertanian secara kecil kecilan di persekitaran perumahan seperti tanah lapang, halaman rumah juga digalakkan dengan syarat tidak menghalang laluan orang awam dan mendatangkan kacau ganggu kepada orang lain. Tujuan adalah mendapat hasil tanaman seperti sayuran bagi meringankan kos sara hidup harian.
SINAR HARIAN: Pandangan YB terhadap Kerajaan Perpaduan yang telah lebih setahun diterjemahkan di negeri ini?
CHEE LEONG: Bagi saya ia merupakan pentadbiran yang mantap, tadbir urus yang positif bagi merealisasikan kegemilangan Melaka Maju Jaya.
Paling utama dapat menyatupadukan semua kaum dan perwakilan politik dalam pentadbiran negeri ini sekali gus satu kelebihan untuk menjaga kestabilan politik di bawah payung Kerajaan Perpaduan.
PROFIL
Nama: Low Chee Leong
Umur: 61 tahun
Isteri: Cheong El Leen
Kelulusan akademik: Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari Open University Malaysia
Jawatan: Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka
Jawatan dalam parti: Ahli Jawatankuasa DAP Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!