'Tubuh kanak-kanak hancur berkecai'
KHAN YUNIS - Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mendakwa hampir 100 termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban manakala lebih 300 lagi cedera dalam kempen pengeboman ganas terbaharu dilancarkan rejim Zionis ke atas 'bandar khemah' di Rafah pada Sabtu.
“Pembunuhan beramai-ramai itu menyasarkan zon selamat ciptaan Israel, kem al-Mawasi yang menjadi tempat berlindung puluhan ribu penduduk di selatan Gaza hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu,” ujar kementerian itu lagi.
Imej kesan kemusnahan dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan komuniti di kawasan itu cuba menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.
Menurut saksi, siri serangan udara itu dilancarkan jet pejuang F16 milik rejim Zionis dan disusuli dengan bedilan dron quadcopter ke atas ambulans dan pasukan pertahanan awam sejurus mereka tiba di lokasi kejadian.
Seorang wanita yang terselamat turut berkongsi kisah menyayat hati ketika kempen pengeboman itu berlaku.
“Kami sedang duduk di dalam khemah seperti hari biasa. Secara tiba-tiba, roket melanda kawasan kami. Saya terpaku apabila lihat tubuh kanak-kanak hancur berkecai,” katanya dalam nada sayu.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan memberi amaran hospital di selatan Gaza sudah tidak lagi dapat menampung kebanjiran mangsa cedera yang terus meningkat dari sehari ke sehari.
Ketua Hospital Lapangan Kuwait, Suhaib al-Hams menyifatkan serangan ke atas al-Mawasi sebagai 'kempen pembunuhan beramai-ramai sebenar'.
“Ada mangsa yang kehilangan anggota tubuh dan mengalami kecederaan serius pada organ dalaman. Malapetaka dahsyat sedang berlaku di tengah-tengah keruntuhan sistem jagaan kesihatan di Gaza,” tegasnya.
Sementara itu, pejabat media Gaza memaklumkan rejim Zionis telah menyebarkan berita palsu dan khabar angin untuk mengalihkan perhatian komuniti antarabangsa terhadap jenayah kejam dilakukan mereka di Khan Yunis.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan kononnya operasi itu menyasarkan pegawai kanan Hamas iaitu Mohammed Deif.
Di utara enklaf itu, sekurang-kurangnya 20 orang awam dilaporkan terkorban selepas rejim Zionis membedil masjid sementara di kem pelarian al-Shati.
“Sejumlah mangsa turut cedera parah,” ujar jurucakap Agensi Pertahanan Awam, Mahmud Basal.
Kempen pengeboman ganas terus diperhebatkan di seluruh Gaza sejak beberapa minggu lalu selepas usaha untuk melaksanakan gencatan senjata kekal masih gagal dicapai sehingga kini berikutan rejim Tel Aviv didakwa terus berdolak-dalik tentang kandungan utama pelan damai itu. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!