Peluang sertai permainan tradisi

Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal menemui pengunjung bermula 26 hingga 28 Julai ini. Gambar kecil: Meen Tahrin
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal menemui pengunjung bermula 26 hingga 28 Julai ini. Gambar kecil: Meen Tahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Permainan tradisi rakyat antara tarikan utama kepada pengunjung yang hadir di reruai SinarPlus dan Sinar Bestari bersempena program Karnival Rakyat 2024 yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini.

Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, orang ramai boleh mencuba pelbagai permainan tradisional seperti baling selipar, kasut tempurung kelapa, tangkap ikan longkang dan melastik cicak.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan bagi setiap permainan adalah RM2, tetapi pengunjung boleh membuat bayaran sebanyak RM10 untuk menikmati semua aktiviti selain dapat meluangkan masa bersama keluarga.

“Semua permainan tradisional yang biasa kita main sewaktu zaman kanak-kanak era 70-an hingga 90-an akan ada di reruai SinarPlus.

“Antara permainan yang pengunjung boleh cuba ialah kasut cinderela, zero point, gelang Cik Siti dan permainan srikandi iaitu memanah,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Karnival Rakyat Karangkraf bakal membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat serta pentas rakyat.

Program itu akan bermula pada jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di sini dan penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian yang ke-18.

Dalam pada itu, menurut Meen, selain permainan tradisional, SinarPlus turut mengadakan pertandingan ‘Mencari Siti’ dan setakat ini mereka telah menerima lebih 80 penyertaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, antara permainan yang dipertandingkan bagi pencarian itu ialah melipat baju paling pantas, potong bawang paling pantas dan menjahit butang baju.

“Kita hanya mencari lima orang sahaja pemenang. Juara tempat pertama akan membawa pulang RM300, naib juara pula RM200, tempat ketiga RM100 manakala tempat keempat dan kelima pula RM50.

“Kesemua pemenang turut menerima bunga dan hamper,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Meen berkata, selain permainan tradisional mereka turut mengadakan Hari Kantin dan demo memasak bersama Chef Asma dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di reruai Sinar Bestari.

Ujarnya, terdapat 10 sekolah yang akan mempromosikan pelbagai jenis produk makanan dan hasil keuntungan itu akan digunakan untuk membaik pulih atau menambah baik fasiliti tempat belajar masing-masing.

Menurutnya, penganjuran Hari Kantin itu akan diadakan selama dua hari bermula 26 hingga 27 Julai dan pengunjung boleh menyertai pertandingan pop kuiz bersama PTPTN serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

“Hari Kantin di reruai Sinar Bestari kali ini sangat menarik yang mana murid dan guru akan mempromosikan produk mereka. Kita mahu anak-anak ini belajar ilmu keusahawanan di samping dapat kumpul dana untuk sekolah masing-masing.

“Selain membuka gerai dengan tema tradisional, mereka juga berpeluang memenangi hadiah bagi kategori Gerai Paling Cantik, Gerai Paling Meriah dan Gerai Paling Kreatif daripada pihak PTPTN.

“Selain itu kita ada juga demo memasak dan saya harap semua orang dapat hadir bersama-sama memeriahkan lagi acara Karnival Rakyat kali ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!