Syed Saddiq luang masa bertemu pembaca Jalan Tegak

Syed Saddiq (tengah) bergambar bersama pembaca Jalan Tegak selepas sesi temu mesra di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian/ AISYAH BASARUDDIN
Syed Saddiq (tengah) bergambar bersama pembaca Jalan Tegak selepas sesi temu mesra di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian/ AISYAH BASARUDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf menampilkan penulis karya Jalan Tegak iaitu ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sesi temu mesra eksklusif bersama pembaca pada Ahad.

Syed Saddiq berkata, kupasan buku berkisarkan perjalanan politik, perihal peribadi dan keluarga mendapat maklum balas positif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut beliau, sesi sedemikian perlu diadakan dengan lebih kerap agar pihaknya dapat mendengar sendiri komen atau cadangan daripada pembaca dalam menambah baik mutu karya.

“Setiap sudut pandang, perkongsian atau luahan mereka memang unik, contohnya ada yang meminta saya ulas tentang situasi selepas pilihan raya, ia menarik.

Syed Saddiq. Foto Sinar Harian/ AISYAH BASARUDDIN
Syed Saddiq. Foto Sinar Harian/ AISYAH BASARUDDIN

"Semua pandangan ini saya ambil sebagai secara serius dan terharu juga mereka sudi datang berjumpa di hari minggu semata-mata mahu mendengar kupasan mengenai Jalan Tegak.

"Justeru, atas semangat sebegini, saya akan terus dedikas kan penulisan buat peminat," katanya ketika ditemui di MPH Bookstores, Menara TRX, di sini.

Ditanya mengenai perancangan untuk menulis buku baharu dalam masa terdekat selepas selesai mempromosikan karya pertama, Syed Saddiq memaklumkan, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan memandangkan sedang sibuk menjalankan tugas hakiki sebagai wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, buku pertama mengambil masa selama hampir satu tahun untuk disiapkan dan perancangan buku kedua yang bakal menekankan intipati politik perlu dibuat secara terperinci.

Bagaimanapun jelas bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terbabit, ia akan diperhalusi dengan pihak Karangkraf nanti.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga turut berkongsi amalan untuk memupuk rasa cintakan buku dalam usaha meningkatkan budaya membaca di kalangan anak muda generasi semasa.

"Semenjak berkecimpung dalam dunia penulisan, saya wajib habiskan baca isu semasa, politik atau ekonomi sama ada melalui majalah, buku, akhbar dan buku audio.

"Bahkan saya lakukannya sambil joging sehingga ke hari ini, jadi itu budaya membaca yang saya bawa," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!