Kedah sekarang bukan seperti dahulu

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEDAH khususnya Alor Setar sudah berusia 289 tahun, sewajarnya negeri ini berubah wajah ke arah lebih segar tanpa meruntuhkan elemen warisan negeri.

Alor Setar merupakan bandar tertua di dalam negara ditubuhkan pada tahun 1735. Mengikut beberapa catatan, bandar ini lebih tua dari usia ibu negara Amerika Syarikat, Washington DC dan dikatakan dibuka lebih awal dari bandar raya terbesar Sydney di Australia.

Penulis perhatikan, sejak dari alam persekolahan hingga sedekad lalu, bandar raya Alor Setar ibarat ‘pekan mati’, suram pada malam hari dan tiada aktiviti menarik untuk gamit pengunjung.

Jolokan itu menyebabkan tidak ramai memilih Kedah untuk dikunjungi. Namun kini bandar raya ini sudah berubah, tidak lagi seperti dahulu.

Dengan tersergamnya pusat beli-belah terbesar di Alor Setar, Aman Central pada tahun 2015, wajah bandar raya ini semakin hari semakin ceria dengan pelbagai pembangunan baharu dan aktiviti setempat.

Ketegasan Menteri Besar Kedah ke-10, Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika itu meruntuhkan bangunan usang Plaza Tunku Yaakob bagi membina Aman Central seakan membuka lembaran baharu negeri ini.

Sejak itu, ramai pelabur mula membuka mata termasuk pelancong kian rancak berkunjung ke negeri Jelapang Padi.

Kehadiran malam bukan lagi sesuatu yang hambar, malah dinanti-nantikan seisi keluarga untuk pelbagai aktiviti.

Artikel Berkaitan:

Kemeriahan Alor Setar mulai terasa dengan kewujudan pasar kopi dan jualan bazar seperti Lorong Pekan, Lorong Kereta api, Lorong Pekan Rabu dan Lorong Setar yang merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat selain menjadi tempat libur sekeluarga.

Laluan pejalan kaki berbumbung menghubungkan kesemua bazar tersebut bermula dari pusat bandar hingga ke Ukir Mall menambahkan keceriaan.

Mungkin ada menyifatkan ia pembaziran, namun selain mengindahkan persekitaran ia berfungsi sebagai tarikan pelancong yang gemarkan aktiviti menyusuri bandar dengan berjalan kaki.

Ia antara usaha menjadikan bandar ini mesra pengguna atau walkable dihiasi taman-taman mini dalam bandar.

Alor Setar juga meriah dengan tempat untuk Outfit Of The Day (OOTD) dibangunkan individu mahupun swasta seperti Tanjung Chali, Pekan Melayu dan Pekan Cina, replika jerami di bendang serta hamparan bunga Tekoma ala Korea pada musim panas.

Kedah kaya dengan tempat menarik dan hanya perlukan sentuhan untuk jadikan sebagai lokasi tumpuan.

Antaranya sepanjang Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit khususnya berdekatan Muzium Negeri dinaik taraf pencahayaan dan diperindahkan, sehingga menjadi tempat riadah dan tumpuan.

Bertepatan dengan ‘Jom Singgah Alor Setar 2024’ semakin banyak tempat menarik dibangunkan selain menaik taraf bangunan warisan agar tampak lebih segar.

Hanya berbaki lima bulan sebelum Kedah menyambut Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, masih ada masa untuk kerajaan negeri memperhebatkan promosi.

Tidak dilupa, keunikan flora fauna seperti Hutan Lipur Sungai Sedim, Gua Sireh dan Gunung Jerai yang digilap sebagai produk pelancongan namun perlu digiatkan lagi promosi dalam merancakkan sektor pelancongan tanah besar.

Pelancaran TMK 2025 dijadualkan di ibu negara pada Ogos depan untuk kesan maksimum termasuk promosi menerusi ekspo pelancongan di luar negara.

Pastinya Kedah menjanjikan pakej pelancongan yang dapat penuhi cita rasa pelancong domestik mahupun antarabangsa.

Namun hasrat Kedah membangunkan pelancongan warisan masih belum tertunai biarpun penemuan Tapak Arkeologi Sungai Batu dan candi purba Bukit Choras, Yan mempunyai nilai tinggi.

Kekangan menjadikan tapak berkenaan sebagai produk pelancongan dibatasi sumber kewangan berikutan kajian dan pemuliharaan warisan memerlukan kos tinggi.

Sayangnya, bandar tertua ini memiliki banyak monumen sejarah bernilai tinggi yang sewajarnya diangkat sebagai produk pelancongan seperti di Angkor Wat, Kamboja dan Candi Borobudur di Indonesia.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!