Mane tinggalkan Al-Nassr hanya khabar angin

Sadio Mane kekal bersama Al-Nassr. Foto: Agensi
Sadio Mane kekal bersama Al-Nassr. Foto: Agensi
A
A
A

EJEN kepada pemain bintang Senegal Sadio Mane, telah menolak dakwaan bahawa kliennya itu akan meninggalkan kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr pada perpindahan musim panas ini.

Bjorn Bezemer sebaliknya menegaskan bekas tonggak utama Liverpool itu akan kekal di Arab Saudi.

Mane, 32, dikatakan mahu meninggalkan Al-Nassr biarpun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama kelab tersebut.

Bezemer menjawab spekulasi tersebut semasa temu bual bersama pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano.

“Saya tidak pernah mengadakan pertemuan dengan mana-mana kelab mengenai Sadio.

“Dia sedang mempersiapkan musim dengan Al-Nassr dan tidak mempunyai sebarang niat untuk pergi.

“Kelabnya sangat gembira dengannya,” kata Bezemer.

Pada 1 Ogos 2023, Al-Nassr mengumumkan kehadiran Mane dari Bayern Munich dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta (RM202.65 juta).

Artikel Berkaitan:

Perpindahan pemain terbaik Afrika sebanyak dua kali itu menyaksikan Al-Nassr dibarisi pemain bintang termasuk pemenang Ballon d'Or lima kali, Cristiano Ronaldo.

Mane menyumbat 13 gol dalam 32 penampilan sejak menyertai Al-Nassr.

Masa depan Mane bersama Al-Nassr menjadi buah mulut selepas Liga Pro Saudi menggesa kelab-kelabnya memupuk bakat tempatan dan memberi tumpuan kepada pemain import lebih muda.

Selepas mencuri tumpuan dengan menandatangani nama-nama besar Eropah dengan bayaran lumayan, garis panduan untuk musim baharu dikeluarkan liga berkenaan.

Liga Pro Saudi menandatangani 97 pemain luar sepanjang musim lalu termasuk Ronaldo dan Neymar, 32, untuk beraksi di negara Timur Tengah itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!